rap

Hadiah hari jadi Mek Habsah 'special'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan pelawak era 1980-an Mek Habsah terharu apabila dihadiahkan dua mesin bantuan pernafasan oksigen sumbangan individu kenamaan dan pertubuhan amal kitafund.

Hadiah yang dianggap bernilai itu diterima sempena ulang tahun kelahirannya ke-65, semalam.

Mek Habsah atau nama sebenarnya Habsah Bakar, sudah lebih 20 tahun menderita sakit paru-paru kronik dan sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Sebelum ini saya mempunyai mesin bantuan pernafasan oksigen yang sudah lebih lapan tahun digunakan dan dikira tidak bersesuaian.

"Perkara ini kemudian diketahui oleh individu kenamaan ini dan dia segera bertindak memberikan sumbangan mesin bantuan pernafasan oksigen yang berharga RM12,000.

"Dia enggan namanya dikenali. Bahkan nak bergambar dengan saya dan mesin ini pun dia enggan. Saya amat berbesar hati dengan keikhlasannya membantu," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama kitafund juga turut menjalankan kempen mengumpul dana bagi membeli mesin bantuan pernafasan oksigen berharga RM7,000.

"Saya pun terkejut apabila mereka tampil untuk membantu. Walaupun jumlah kutipan belum mencukupi, mereka sudah memberikan mesin ini kepada saya.

"Terima kasih kepada wakil mereka, Aisyah Shamsun yang bertanggungjawab menguruskan perkara ini. Urusan serahan mesin bantuan pernafasan oksigen diberikan kepada Azrie Global Venture (AGV). 

"Saya anggap ini satu rezeki lumayan kerana walaupun bukan dalam bentuk wang ringgit ia amat membantu mengekalkan kesihatan saya," katanya yang ditemui pada majlis yang berlangsung di restorannya Mek Habsah Corner di sini malam tadi. 

Sementara itu, Pengarah Urusan AGV, Mohd Norazri Hamzah turut menyumbangkan wang tunai berjumlah RM2,000 kepada Mek Habsah.

Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 8:29pm
d