rap

Ariel Tatum hidap penyakit mental BPD

Oleh Agensi

Jakarta: Pelakon Ariel Tatum, 24, mengakui dirinya menghidap penyakit mental dipanggil Borderline Personality Disorder (BPD) sejak remaja menyebabkannya sukar untuk menjalin hubungan cinta.

Perkara itu didedahkan Ariel menerusi program temubual di mana bintang filem Oh Baby terbabit berdepan masalah emosi yang tidak stabil kerana penyakit berkenaan.

"BPD itu adalah satu gangguan terhadap keperibadian diri. Jadi, memang sifat diri kurang jelas dan ia menyebabkan diri tidak tenang serta perasaan itu berpanjangan.

"Disebabkan tidak stabil, memang sukar untuk saya menjalin hubungan romantik sejak daripada dahulu," katanya.

Ariel berkongsi, dia cuma mendapat tahu penyakitnya itu beberapa tahun selepas mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena terhadap emosinya.

"Saya merasa sesuatu tidak kena ketika berusia 13 tahun. Saya dapatkan bantuan profesional dan selepas bertahun-tahun, barulah dapat tahu menghidap penyakit BPD ketika usia 18 tahun," katanya.

Terdahulu, pelakon terbabit pernah cuba menjalin cinta dengan beberapa lelaki termasuk Ryuji Utomo dan Al Ghazali. Bagaimanapun, hubungannya tidak bertahan disebabkan masih bergelut mengatasi penyakit itu.

Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 2:22pm
d