rap

Intan kini penerbit filem

Oleh Norhayati Nordin

PENGALAMAN berbelas tahun sebagai pelakon dan hingga kini masih lagi aktif membintangi drama, diakui menjadi sandaran ilmu serta pengalaman berharga buat Intan Ladyana.

Bahkan, Intan, 39, dengan beraninya kini cekal hati menyahut cabaran mengorak langkah baharu sebagai penerbit dan juga pengarah filem.

Menubuhkan syarikat produksi dikenali Prisma Pictures Sdn Bhd pada 2018 lalu, Intan bakal menerbitkan filem seram berjudul Banglo Seksyen 12 yang diinspirasi daripada novel nukilan Hasrudi Jawawi.

Mengulas mengenai tanggungjawab baharunya itu, Intan berkata, sudah tiba masa dia mencuba cabang lain dalam kerjaya seni. Katanya sampai bila dia hendak terus dikenali sebagai pelakon sahaja.

"Sebenarnya, sebelum ini ramai wartawan pernah tanya saya apakah impian yang mahu dicapai dalam kerjaya seni? Ketika itu, saya tak cakap apa pun kerana impian ini (jadi penerbit dan pengarah) belum dapat direalisasikan lagj.

"Ditambah, saya ini seorang yang tidak gemar bercakap atau berkongsi perkara yang tidak ada. Bagaimanapun, sekarang dengan perasaan teruja saya mengaku sudah sedia duduk di kerusi pengarah pula.

"Saya memang ada impian pun nak jadi penerbit dan pengarah selama ini. Cuma, tunggu masa sesuai dan juga rezeki. Alhamdulillah, sekarang adalah waktunya saya melakukan tanggungjawab ini berpandukan ilmu dan pengalaman lakonan yang dimiliki," katanya.

Menurut Intan, bagi memastikan filem arahannya itu berjaya dihasilkan dengan baik, dia turut mendapat kerjasama daripada rakannya, Dharma Nasution yang bertindak sebagai pengarah bersama.

Turut menjadi pelakon utama dalam filem Banglo Seksyen 12 itu, Intan berkata, dia memilih untuk terbitkan genre seram sebagai buah tangan pertama syarikat produksinya kerana pengalaman membintangi banyak karya berunsurkan cerita hantu.

"Kalau lihat kebanyakan filem lakonan saya selama ini, rata-rata ia adalah karya seram. Jadi, genre ini memang sesuai untuk saya pilih diterbitkan dan harapnya semoga proses penggambaran berjalan lancar.

"Untuk filem Banglo Seksyen 12 ini, saya memulakan penggambarannya pada 2 Januari lalu dan dijangka berakhir 16 Januari ini membabitkan lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Kuala Kubu Baharu, Selangor.

"Bagi saya tempoh ini (dua minggu) cukup untuk penggambaran dibuat berikutan sekarang pun keadaan kurang baik dengan penularan pandemik Covid-19, belum reda lagi.

"Apapun, saya nekad mahu menyiapkannya kerana sudah lama tertangguh sejak tahun lalu. Ia berikutan, saya berpeluang menerbitkan filem Banglo Seksyen 12 ini pun selepas mendapat Dana Inkubator daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebanyak RM500,000," katanya.

Menurut Intan, dia tidak mahu terus menunggu lagi kerana sebagai penggiat seni kena terus bekerja untuk menjana pendapatan. Katanya, apa yang pasti sepanjang proses penggambaran mengikut norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sehubungan itu, barisan pelakon lain filem Banglo Seksyen 12 ialah Mustaqim Bahadon, Faez Malek, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Hariz Hamdan, Farah Shah dan Windz Neom.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 6:31am
d