rap

Sasha dapat suntikan Covid-19

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

"TERIMA kasih kepada kerajaan UAE (Emiriah Arab Bersatu) dan Menteri Kesihatan kerana memberi vaksin percuma," kata anggota kumpulan Elite yang juga pelakon, Sasha Saidin melahirkan penghargaannya.

Semalam Sasha, 45, dan suaminya Sirhan Wahab, 44, selesai mengambil dos kedua suntikan vaksin Covid-19 di Emirates Field Hospital, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan prosesnya berjalan lancar.

"Alhamdulillah, kami selesai mengambil vaksin Sinopharm buat kali kedua selepas 21 hari mengambil suntikan dos ini. Kami diberitahu oleh jururawat bahawa suntikan kedua ini lebih bersifat penggalak (booster) dan bersifat lebih ringan daripada dos pertama yang sudah kami ambil.

"Masa kami pergi memang banyak jururawat dan doktor serta pengawal keselamatan yang berada di situ melayan ribuan orang tapi mereka tetap membantu dan melayan dengan baik," katanya.

Menurutnya, mereka berada dalam kereta beratur menunggu giliran dan prosesnya amat teratur.

"Syukur juga kami sihat selepas suntikan dos kedua ini. Tiada rasa yang bukan-bukan. Yang dos pertama pun memang tak rasa apa-apa. Yang kedua itu rasa penat sikit dan mengantuk," katanya.

Pasangan ini yang berkahwin pada Januari tahun lalu mula menetap di UAE sebulan selepas itu.

"Ketika Covid-19 mula menular, kami dapat pergi menunaikan umrah. Apabila balik rumah, kerajaan mula tutup sempadan. Patutnya saya pulang ke Malaysia untuk menyambut Aidilfitri dan tiket penerbangan juga sudah dibeli.

Bagaimanapun, ketika itu Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pererakan (PKP) dan ibu nasihatkan jangan balik dulu sehingga keadaan stabil.

"Nampaknya ia tak selesai juga. Alhamdulillah sekarang sudah ada vaksin dan kami berani nak pulang ke Malaysia dalam masa terdekat," katanya.

Menurutnya, dia amat bimbangkan keluarga dan anak-anak yang berada di Malaysia.

"Kami sentiasa mendoakan keselamatan keluarga dan anak-anak. Suami rajin baca paparan terkini Covid-19 di Malaysia dan seluruh dunia menerusi Internet.

"Ikutkan kami tak tertekan dengan situasi sama di UAE. Kami hidup seperti biasa termasuk boleh menonton wayang. Di UAE hanya sekali diadakan 'lockdown' dan kemudian keadaan kembali normal.

"Covid-19 adalah benda baru dan mulanya semua panik, tapi alhamdulillah kerajaan di sini banyak memberi informasi menerusi telefon. Insya-Allah saya akan pulang tak lama lagi. Saya amat merindui ibu dan anak-anak. Selain itu saya akan ambil peluang selesaikan beberapa perkara sebelum pulang semula ke UAE," katanya yang merindui masakan ayam penyet.

Sementara itu, Sirhan berkata, mereka terpaksa mengikuti syarat yang ditetapkan kerajaan UAE demi keselamatan.

"Pelitup muka perlu pakai sentiasa walaupun nak berjalan ke koridor atau lif. Penumpang kereta dihadkan tiga orang dan kalau lebih kena bayar saman 3,000 Dirham atau RM3,300.

"Naik teksi pula, pemandu dan kita kena pakai pelitup muka. Ada empat kamera dalam teksi dan kalau buka pelitup muka kena saman 1,000 Dirham atau RM1,100. Muka kita juga akan dipaparkan dalam laman web polis," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 6:29am
d