rap

Judi Dench terima suntikan vaksin Covid-19

Oleh Agensi

London: Pelakon veteran Britain, Judi Dench, 86, sudah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 baru-baru ini dan berkongsi pengalaman menjadi salah seorang individu terawal menerima vaksin bagi membendung virus berbahaya itu.

Dalam satu temubual, pemenang Oscars ini berkata, dia akan mendapat suntikan kedua dos penggalak (booster) selepas 21 hari berikutnya.

Pelakon yang membintangi siri filem James Bond : Skyfall ini bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lengkap jenis vaksin yang diterimanya sama ada Pfizer/BioNtech atau Oxford/AstraZeneca.

Dia adalah salah-seorang daripada 1.5 juta orang pertama yang diberikan keutamaan menerima vaksin ini oleh kerajaan Britain sehingga pertengahan Februari ini.

Selain berkongsi pengalaman mendapat vaksin, Dench juga gembira dan lega kerana berpeluang meneruskan projek filemnya dalam situasi pandemik Covid-19 ini.

"Saya kembali meneruskan penggambaran filem yang tertunda. Saya bekerja dengan Kenneth Branagh yang menulis dan mengarahkan sebuah filem mengenai masa kanak-kanaknya di Belfast," katanya.

Terdahulu, Bintang filem Lord of The Rings dan X-Men, Sir Ian McKellen, 81, menjadi selebriti pertama mendapat suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Queen Mary, London, pada 17 Disember tahun lalu.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 12:33pm
d