rap

Pelakon filem Mukhsin nikah

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon filem Mukhsin, Yana Alyahya bersyukur apabila majlis pernikahan dengan jejaka pilihan hati, Jad Hanif Jimmy berjalan dengan lancar, semalam.

Yana atau nama sebenarnya, Sharifah Aryana, 26, berkata, walaupun berdepan pelbagai dugaan, namun berjaya ditangani dengan sokongan ahli keluarga. 

"Alhamdulillah banyak sangat dugaan kami tempuhi tapi dengan izin Allah kami diberikan rezeki untuk bernikah. Saya tak mampu jayakan majlis ini tanpa kehadiran ahli keluarga yang sentiasa memberi restu untuk setiap apa yang saya impikan. 

"Kami juga sudah cuba sedaya upaya untuk melakukan perkara yang kami inginkan dalam perkahwinan ini tapi perancangan Allah lebih baik  dan saya sangat bersyukur," katanya yang juga anak kepada pelakon Fatimah Abu Bakar dan adik bongsu pelakon Sharifah Aleya, Sharifah Amani dan Sharifah Aleysha.

Semalam, Yana bersama pasangannya dinikahkan bapa Yana, Syed Zainal Rashid Alyahya dalam satu majlis ringkas.

Majlis pernikahan yang berlangsung di kediaman keluarga pelakon itu turut disertai ahli keluarga pengantin lelaki secara atas talian yang menetap di Kuching, Sarawak. 

Menurut Yana, dia tidak sabar untuk meluangkan waktu bersama keluarga baharunya di Kuching. 

"Tak sabar nak habiskan masa bersama keluarga mentua. Mereka sentiasa melayan saya dengan penuh kasih sayang dan cinta. Saya amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada keluarga mereka," katanya. 

Pada majlis yang diadakan secara sederhana itu, Yana dan suami mengenakan pakaian sedondon bewarna putih dan merah jambu bagi meraikan hari bahagia mereka. 

Yana pernah membintangi filem Mukhsin arahan Allahyarham Yasmin Ahmad pada 2006. Filem itu turut dibintangi Syafie Naswip dan Adibah Noor. 

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 4:44pm
d