rap

Pak Yong Rosnan kecewa Instagram kena godam

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Aktivis teater Rosnan Abdul Rahman kecewa apabila laman Instagram miliknya digodam individu tidak dikenali termasuk mengugut dan meminta wang daripadanya. 

Rosnan, 49, yang terkenal dengan gelaran Pak Yong Negara berkata, dia melakukan kesilapan apabila menekan butang yang dihantar kepadanya oleh penggodam terbabit menerusi Direct Mesej (DM).

"Mesej diterima minggu lalu mengatakan saya melanggar hakcipta dan sebagainya. Tanpa sengaja saya tertekan satu butang dan tiba-tiba Instagram saya terus hilang dan saya tak dapat masuk. Selepas itu dapati nama Rosnan Rahman dah bertukar kepada 'helpcenternotices'. Saya terus mencuba berkali-kali tapi gagal.

"Rupa-rupanya saya tak semak terlebih dahulu emel notis peringatan agar berhati-hati dengan individu yang cuba godam Instagram yang dihantar oleh pengendali Instagram," katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan (JKKK) berkata, keesokannya penggodam itu menghantar mesej melalui WhatsApp kepadanya dan meminta wang tunai AS300 (RM1,215) sekiranya mahukan semula akaun Instagram itu.

"Saya tak layan kerana pengikut Instagram saya bukanlah ramai sangat. Ini buat dia sakit hati dan marah serta ugut saya. Dia DM semua kawan-kawan dan hantar mesej palsu supaya mereka pun terkena. Mujur saya sempat mesej mereka minta sekat akaun itu. Seterusnya dia hantar pula mesej dan gambar lucah kepada semua kenalan yang pernah saya hubungi menerusi DM," katanya.

Rosnan berkata, beberapa rakan artis iaitu Datin Marlia Musa, Vanida Imran dan Fendy Bakri antara penerima mesej ini.

"Bagaimanapun mereka bijak apabila menghubungi saya terlebih dahulu sebelum menekan butang itu. Saya memang risaukan rakan-rakan artis yang mengikuti Instagram saya turut terima mesej daripada penggodam ini. Lagi kasihan jika mereka mempunyai ramai pengikut," katanya.

Rosnan bersyukur kerana Instagram penggodam itu sudah disekat selepas aduan dibuat rakan-rakannya.

"Gambar-gambar saya masih ada. Namun, saya bimbang dia menggunakan gambar ini untuk menipu orang lain," katanya yang sudah membuat laporan polis di Kota Bahru, hari ini.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 7:09pm
d