rap

Unsur tradisional tetap ada

Oleh Syafil Syazwan Jefri

NAMA kumpulan Floor 88 bukan lagi asing buat peminat muzik tanah air terutama yang mengikuti perkembangan mereka sejak awal kemunculan.

Dianggotai Eric, Ayie, Achoi, Akram, Amir dan Falique nama mereka semakin menyerlah dan kini bakal melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) menerusi lagu Hutang.

Walaupun tarikh berlangsungnya AJL35 belum jelas memandangkan Selangor dan Kuala Lumpur kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus melakukan persediaan secukupnya.

"Setakat ini, kami dah siapkan susunan muzik untuk dipersembahkan di AJL35 nanti. Buat masa sekarang, sesi latihan juga dijalankan secara individu," kata Eric mewakili rakan.

Berkongsi mengenai kelainan yang bakal ditampilkan, Eric berkata, Floor 88 akan menyuntik elemen tradisional ke dalam persembahan mereka.

"Kalau dilihat dan diamati, identiti kami adalah kami akan selitkan elemen tradisional dalam persembahan. Kali ini, kami akan kekalkan identiti itu," katanya.

Ditanya sama ada mereka akan melakukan kelainan sama seperti Hutang versi Noraniza Idris ketika dia tampil di Gegar Vaganza 7, Eric tidak menolak ada beberapa idea yang mereka rancang, sudah diguna pakai di situ.

"Kalau nak tahu, kami sebenarnya dah merancang memasukkan elemen tradisional sebelum persembahan Kak Ani lagi. Kebetulan, apabila dia tampil dengan lagu itu di Gegar Vaganza, konsepnya lebih kurang sama.

"Ada beberapa idea yang kami dah fikirkan, dipersembahkan di situ. Jadi, kami takkan ulang persembahan sama dan akan cari idea lain. Namun, persembahan Kak Ani juga sangat berkualiti kerana kita semua sedia maklum tunjang utama dirinya adalah sebagai penyanyi tradisional," katanya.

Bagi Ayie selaku penyanyi, dia juga mempersiapkan diri dengan menjaga kesihatannya.

"Sekarang, keutamaan saya adalah untuk menjaga kesihatan dan pemakanan. Saya ada sertai kelas vokal juga untuk membantu meningkatkan skil nyanyian.

"Harapan saya semoga persembahan kami berjalan lancar dan menjadi perkara yang diingati penonton," katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 6:41am
d