rap

Tajul idolakan Shuib Sepahtu, mahu berjaya dalam bisnes!

Oleh Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Tajul Ariff, 22, menyimpan impian mahu berjaya dalam perniagaan diusahakannya kini, sama seperti kejayaan yang diraih oleh pelawak dan ahli perniagaan terkenal, Shuib Sepahtu.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari berkata dia kagum melihat kejayaan Shuib dalam perniagaan yang gigih berusaha sehingga mampu membangun empayar sendiri.

"Saya menjadikan kejayaan abang Shuib sebagai inspirasi diri. Saya idolakan dia (Shuib) yang sekarang sudah berjaya dalam perniagaannya dan ada harta benda sendiri.

"Tapi, tak apalah kalau sekarang saya masih lagi perlu berusaha perlahan- lahan nak majukan bisnes. Saya akan melakukannya dengan penuh sabar hingga berjaya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Tajul yang pernah popular dengan lagu Sedalam Dalam Rindu, dia bersama isterinya, Nurul Shamieza Eddie berniaga barangan keperluan wanita berikutan agak senang dijual berbanding produk lelaki.

"Kata isteri, barang-barang wanita mudah dijual dan dapat perhatian berbanding produk lelaki. Harga barangan wanita ini pun, banyak yang mahal sebenarnya. Jadi, mula dari situlah saya bantu isteri berniaga.

"Syukur Alhamdulillah, dapatlah juga kami meraih sumber kewangan yang stabil untuk menyara keluarga. Ditambah, isteri pun sekarang hamil anak kedua kami dan akan bersalin tidak lama lagi," katanya.

Menurut Tajul, dia dan isteri aktif berniaga barangan wanita sudah lama, sekitar tiga tahun lalu yang dilakukan mereka secara dalam talian dan mendapat sambutan baik pelanggan.

Hasil daripada berniaga itu, Tajul turut berkongsi kejayaannya dapat membeli kereta mewah jenis BMW yang menjadi idaman baru-baru ini dan dianggap rezeki buat keluarga serta bakal anak keduanya juga.

Ujarnya, dia membeli kereta baharu itu demi keselesaan isteri dan anak. Ditambah, sebagai ketua keluarga dia memiliki impian besar mahu memberi kehidupan yang baik untuk isteri dan anak.

Tajul yang bertemu jodoh pada usia muda, 19 tahun berkahwin secara rahsia dengan Nurul Shamieza pada 2017. Pasangan ini sudah dikurniakan anak sulung perempuan, Adriana Carissa yang kini berusia setahun dua bulan.

Bagi kerjaya nyanyiannya pula, meski masih pandemik Covid-19 ketika ini,  Tajul baharu muncul dengan lagu solo berjudul Izinkan Aku.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 12:08pm
d