rap

Usik emosi pendengar

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MELIHAT kepada judul lagu Gundah ini sahaja, sudah dapat menggambarkan perasaan yang terlakar dalam penghasilan karya ciptaan penyanyi dan komposer, Ernie Zakri.

Turut mendapat sentuhan daripda komposer berpengalaman, Sharon Paul, karya balada ini melayakkan nama Ernie untuk berjuang di pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35).

Walaupun tarikh keramat penganjuran AJL35 belum dapat ditentukan dek kerana situasi pandemik Covid-19 yang semakin meruncing, namun, Ernie kini bersiap sedia untuk mempertaruhkan kemampuan vokalnya.

Kerap kali diajukan soalan sama ada dia meletakkan harapan tinggi untuk menjulang kemenangan kategori Vokal Terbaik, Ernie mengakui mensasarkan kemenangan besar untuk semuanya.

"Saya bersyukur, apabila sering ditanyakan soalan sama iaitu sejauh mana meletakkan sasaran untuk memenangan kategori Vokal Terbaik berkenaan.

"Sejujurnya kalau ditanya mengenai sasaran saya, tentunya saya nak menang semua. Lebih-lebih lagi, ini adalah karya pertama yang saya cipta sendiri," katanya.

Namun begitu, matlamat utama Ernie adalah untuk membuatkan penonton turut dapat merasakan 'jiwa' yang ada di dalam lagunya itu.

"Saya sentiasa mahu berikan yang terbaik dan kali ini, saya nak berikan rasa serta emosi yang berbeza.

"Harapan saya, semoga lagu ini tak hanya membuka mata penonton dari sudut vokal, tetapi juga emosi yang mengusik jiwa," katanya.

Diinspirasikan daripada kisah benar kehidupan nenek dan datuknya, Ernie mengakui sentiasa tersentuh dan menitiskan air mata tatkala berbicara mengenainya.

"Saya tulis lagu ini mengenai kisah arwah nenek dan datuk saya. Bila saya berbincang dengan Sharon, barulah dia tahu kenapa saya begitu beremosi.

"Setiap kali perbincangan mengenai lagu (Gundah) ini berlangsung, akan timbul rasa sedih serta sayu di hati yang mampu membuatkan saya pasti menitiskan air mata," katanya.

Bagaimanapun, Ernie juga yakin dan percaya bahawa lagu Gundah itu tentunya dapat menyentuh hati ramai pendengar.

"Apa yang pasti, setiap daripada kita pernah melalui proses kehilangan orang tersayang dan mungkin lagu ini akan dekat di hati pendengar," katanya.

Menurut Ernie, dia akan berusaha membuat persembahan terbaik untuk lagu itu. Ujarnya, lagu itu terlalu besar maknanya dan penceritaan yang dekat dengan perasaan.

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 6:22am
d