rap

Shuib tinggalkan Hot FM, mahu fokus bisnes dan keluarga

Oleh Georgie Joseph

Petaling Jaya:  Pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu, 37, memutuskan untuk meninggalkan Hot FM selepas dua tahun berkhidmat untuk stesen radio itu.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad memaklumkan perkhabaran itu sewaktu bersiaran pada segmen Geng Pagi Hot bersama Shuk dan Fizie, hari ini.

"Ini adalah kali terakhir saya akan bersiaran bersama Hot FM. Keputusan ini diambil kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan yang dijalankan.

"Saya akui memang sangat berat hati dan sebenarnya terlalu sedih untuk tinggalkan Hot FM. Tiga bulan, juga saya ambil masa untuk membulatkan hati membuat keputusan ini.

"Bagaimanapun, dengan perniagaan saya yang semakin berkembang sekarang dan mahu fokus pada komitmen dalam menguruskannya sepenuh masa. Saya tidak mahu susahkan pihak Hot FM pada masa depan," katanya.

Shuib juga menafikan dirinya dilamar stesen radio lain hingga menyebabkan dia meninggalkan Hot FM.

"Oh, tidak. Saya bukan dapat tawaran stesen lain. Ini pun kali kedua saya tinggalkan kerjaya penyampai radio dan kali ini memang nekad sebab ada dua alasan penting.

"Selain memajukan perniagaan, saya mahu fokus kepada keluarga terutama anak-anak. Mereka pun semakin membesar dan saya perlu memberi tumpuan dan membuat perancangan buat mereka," katanya.

Shuib juga memaklumkan dia akan memperlahankan kerjaya seninya sepanjang tahun ini dan tahun hadapan.

"Meskipun akan perlahankan kerjaya seni, saya masih aktif menerusi media sosial dan dalam proses mengukuhkan saluran YouTube sendiri. Saya pasti akan gunakan platform itu untuk berkongsi setiap perkembangan terbaharu," katanya.

Shuib memulakan kerjaya bersama Hot FM pada Februari 2019.  Dia mengendalikan segmen Geng Pagi Hot bersama Shuk dan Fizie dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 1:35pm
d