rap

Jamal tak bangga diri

Oleh Syafil Syazwan Jefri

USIA perjalanan karier dalam industri hiburan yang bertahan hingga mencecah 43 tahun, bukanlah satu tempoh yang singkat untuk seseorang anak seni.

Hampir separuh abad, penghibur terkenal yang 'senior' seperti Datuk Jamal Abdillah bersyukur kerana namanya masih lagi relevan dan diterima baik di persada industri seni tanah air.

embuktikan lagi kemampuannya, Jamal kini bakal tampil di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35) di samping penyanyi generasi baharu, Wany Hasrita untuk menyanyikan lagu duet mereka berjudul Belenggu Rindu.

"Saya bersyukur kerana selepas 43 tahun dalam industri, saya masih ada di sini. Lebih menarik, kali ini saya dapat sekali lagi menjejakkan kaki ke pentas AJL35," katanya.

Walaupun pernah memegang trofi Juara Lagu di AJL12 menerusi lagu duet, Ghazal Untuk Rabiah bersama Datuk M Nasir, Jamal mengakui masih rasa gemuruh setiap kali tanpil di pentas berprestij.

"Tak kiralah sama ada kita baharu atau lama, sedikit sebanyak rasa gemuruh itu mesti ada. Yang penting, jangan terlalu bangga diri kalau kita dah lama atau dah berstatus legenda," katanya.

Ujarnya, kesombongan tidak akan membawa seseorang itu melangkah dengan lebih jauh.

"Kesombongan adalah satu sikap yang tak baik. Saya lihat muzik sebagai minat dan ia juga sesuatu yang boleh mendatangkan minat kepada orang lain. Jadi, kenapa nak disia-siakan," katanya.

Berkongsi mengenai lagu duet terbaharu itu, Jamal akui menjadikannya sebagai satu medium untuk berkongsi nasihat.

"Kalau ditanya mengenai lagu ini (Belenggu Rindu), saya lebih memberi tumpuan kepada liriknya. Ia adalah lagu nasihat dan dalam karya ini saya menasihati Wany supaya tidak mudah leka dengan cinta.

"Saya juga sebagai orang yang lebih berusia, menasihatkan dia supaya tidak taksub dengan cinta agar tidak memakan diri," katanya.

Walaupun penganjuran AJL35 belum ada tarikh spesifik memandangkan Kuala Lumpur dan Selangor berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jamal kini mempersiapkan diri dari sudut kesihatan.

Antara persiapan yang saya lakukan adalah untuk menjaga kesihatan, pemakanan harian dan memastikan saya berada dalam berat badan ideal," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 6:47am
d