rap

Soal kesihatan diri, Ebby Yus hanya mampu berjaga-jaga

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak berpengalaman, Ebby Yus, 57, tetap berjaga-jaga soal kesihatan dirinya meski sekarang diakui berada pada tahap yang begitu baik.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata soal kesihatan individu  yang sudah berusia dan ada penyakit sepertinya sukar dijangka dan kena sentiasa berjaga-jaga.

"Orang yang ada banyak penyakit macam saya ini, sihat atau tidak itu tak boleh dijangka. Ada masa baiknya, okaylah dan kalau datang pula sakit, cepat-cepat dapatkan rawatan doktor. Jadi, kena selalu jaga-jaga.

"Apapun, Alhamdulillah buat masa sekarang Allah masih beri saya kesihatan yang baik. Malah, disebabkan negara kita masih lagi dilanda Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya duduk di rumah sahaja.

"Cuma pada setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu, saya kena merentas negeri dengan surat pelepasan bekerja dari Kuala Lumpur ke RTM Seremban untuk bersiaran di konti radio Negeri FM. Alhamdulillah, rezeki sebagai penyampai radio masih ada," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ebby yang masih menerima tawaran berlakon, dia juga kini aktif menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti 'live'  di Instagram untuk program infaq beras bagi membantu golongan yang memerlukan  seperti mangsa banjir, baru-baru ini.

"Saya sudah menjalankan program infaq beras ini sejak tiga bulan lalu dan alhamdulillah, ramai juga pengikut di Instagram yang menyertainya untuk amal jariah mereka.

"Bagi saya, di Malaysia ini ramai orang yang prihatin untuk membantu orang lain yang memerlukan. Terima kasih diucapkan atas segala jasa baik anda yang memberikan sumbangan untuk infaq beras ini. Hanya Allah yang akan membalas," katanya.

Menurut Ebby, dengan aktif melakukan aktiviti kemasyarakatan sebegini dia makin sihat, bertenaga dan terus semangat. Katanya, aura positif ke arah kebaikan sangat mempengaruhi kesihatan dan kehidupan.

Sekitar 2019 lalu, Ebby mendedahkan dia mengalami penyakit gastrik kronik selain lemah jantung dan buah pinggang yang menyebabkan tidak boleh terlalu aktif bekerja dan perlu berehat.

Malah, bagi menampung perbelanjaan rawatan kesihatannya,  Ebby pernah berhabis wang simpanan ternasuk menjual kereta mewah kerana enggan menyusahkan keluarga.

 

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 6:46pm
d