rap

Awie ambil tindakan undang-undang terhadap syarikat MLM

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie akan  mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat jualan langsung (MLM) yang menyalahgunakan gambarnya untuk tujuan promosi tanpa pengetahuannya.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, syarikat yang dikenali sebagai AG Nutrition International itu menggunakan gambarnya di beberapa platform media sosial untuk mempromosikan produk mereka.

"Saya akan membuat tuntutan saman kepada syarikat itu kerana mereka menggunakan gambar dan nama saya untuk tujuan promosi produk mereka sedangkan saya tak tahu menahu mengenainya.

"Gambar yang digunakan di beberapa platform media sosial itu juga adalah gambar yang sudah disunting, menggunakan muka saya dan 'ditampal' di badan orang lain," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Awie, dia mendapat tahu mengenai penyalahgunaan gambarnya itu sejak sebulan lalu.

"Sejak sebulan lalu, bila ramai yang bertanya sama ada saya menyertai syarikat itu sebagai duta atau apa, saya mula rasa ragu-ragu dan membuat keputusan untuk mengambil tindakan.

"Perkara ini berlaku sejak zaman dahulu lagi. Tapi, bila ia kembali berlaku sekarang, saya rasa sudah tiba masanya saya bertindak tegas kerana apa yang mereka lakukan ini mengelirukan pengguna.

"Secara tak langsung, ia juga mencalarkan nama saya kerana saya tak tahu apa-apa mengenai produk ini atau pun syarikat berkenaan," katanya.

Peguamnya, Adnan Seman dan Tetuan Adman Sharida & Associated berkata, pihaknya sudah menghantar surat tuntutan kepada syarikat itu pada 6 Januari lalu.

"Kami sudah menghantar surat tuntutan, dan mereka membalas surat tuntutan itu pada 13 Januari, menafikan bahawa pihak mereka menggunakan gambar serta nama anak guam saya untuk tujuan promosi.

"Jadi, kami beri masa beberapa hari selepas sidang media ini dan sekiranya tidak ada sebarang maklum balas, pihak kami akan meneliti untuk membuat tuntutan saman," katanya.

Selain Awie, ada beberapa nama selebriti lain yang turut disenaraikan sebagai artis yang kononnya menggunakan produk mereka antaranya Riz Amin, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Jaafar Onn, Abon dan Noraniza Idris.

Awie ditemubual menerusi sidang media virtual yang berlangsung petang tadi di aplikasi Zoom.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 8:25pm
d