rap

'Cukup-cukuplah berlakon, tak boleh dah' - Roslan Salleh

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan yang tidak menentu membuatkan pelakon veteran, Roslan Salleh, 64, kini hanya berehat di rumah serta berniaga secara kecil-kecilan.

Roslan ketika dihubungi berkata, dia perlu meneruskan perniagaan sambal lado, daging dendeng dan sambal hitam Pak Lan yang diusahakan selama ini bagi menampung pendapatan.

"Berniaga kenalah buat. Kalau tak berniaga macam mana pula, tapi sikit-sikit sahaja lah. Dapat juga menampung pendapatan untuk keluarga.

"Berlakon memang saya tak boleh buat dah. Badan memang kurang sihat dan tak kuat. Sekarang pun, duduk rumah sahaja ditambah masih lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mata saya pun sudah tak berapa nak terang. Kalau keluar berjalan, nanti tak puas nak tengok sebab penglihatan saya memang terhad. Saya juga tidak memandu lagi," katanya.

Menurut Roslan yang pernah membintangi drama Bercakap Dengan Jin pada 2014, sekarang jika hendak ke mana-mana, dia perlu membawa anaknya sebagai pemandu.

Ditanya juga mengenai kerinduan terhadap lakonan, Roslan tidak menafikan, namun cukuplah rasa itu hanya disimpan dalam hati dan dia tidak terlalu memikirkannya.

Pada November tahun lalu, Roslan menerusi Instagram berkongsi kisahnya yang mendapatkan rawatan di hospital.

"Tahun lalu, dua kali saya dimasukkan ke hospital. Kalau rasa tak sedap badan, terus pergi buat pemeriksaan kesihatan di hospital.

"Apabila kena ambil darah tu, teruslah masuk wad sekejap. Tapi, buat masa sekarang alhamdulillah kesihatan saya baik-baik sahaja selagi jaga pemakanan dan banyakkan berehat," katanya yang kali terakhir berlakon kira-kira empat tahun lalu.

Katanya, dia bersyukur hingga kini masih ada rakan-rakan artis yang mengingatinya dan bertanya khabar walaupun dia sekeluarga kini menetap di Melaka.

Roslan yang menghidap kencing manis, tekanan darah rendah dan beberapa penyakit lagi sejak 10 tahun lalu kini perlu bergerak menggunakan tongkat.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 4:19pm
d