rap

Lenggang Syafiq 'trending'

Oleh Najiy Jefri

BARANGKALI ramai yang tertanya-tanya siapa pemilik suara yang menyanyikan lagu Lenggang yang kini dijadikan runut bunyi drama The Maid yang ditayangkan di Astro.

Lagu berentak 'pop catchy' serta menggabungkan pelbagai elemen unik itu adalah nyanyian pendatang baharu seni suara dikenali sebagai Syafiq Naser.

Syafiq berkata, dia sangat gembira apabila lagu Lenggang meraih perhatian ramai ketika drama The Maid itu bersiaran.

"Ini adalah single pertama dan jujur memang tak sangka saya diberikan peluang untuk merakamkan sebuah lagu bagi drama yang kini 'trending' dan diminati ramai.

"Sebagai pendatang baharu dalam industri seni, saya bersyukur dengan peluang yang ada dan menganggap ini permulaan yang baik.

"Walaupun lagu Lenggang baharu sahaja dilancarkan, tetapi maklum balas yang diterima begitu baik. Saya menghargai setiap komen dan kritikan serta berharap lagu ini diterima dengan baik oleh semua," katanya.

Wajah penyanyi berusia 26 tahun itu juga bukan asing lagi dalam kalangan pengguna di media sosial. Hakikatnya, Syafiq memiliki jumlah pengikut yang ramai apabila sering membuat video parodi sejak dua tahun lalu.

Bakat nyanyiannya juga semakin menyerlah apabila menyertai pertandingan Vokal Mania bersama puluhan 'rookie' yang lain sebelum ini.

Meskipun tidak berjaya mara ke peringkat akhir, itu sudah memberikan pengalaman baharu buat dirinya.

Lagu Lenggang sudah dilancarkan secara rasmi pada 13 Januari lalu dan pastinya lagu ciptaan AmzarSabri, Muaffirah dan Dayne itu begitu dekat dengan perwatakan dirinya yang 'happy go lucky'.

"Single ini juga membawa pengalaman pertama saya memasuki studio rakaman. Bukan mudah sebenarnya nak menyiapkan lagu ini, tetapi saya beruntung kerana Amzar banyak membantu terutama untuk mencari kesesuaian lenggok dan penghayatan lagu.

"Lagu ini juga mempunyai pelbagai karakter dan saya perlu mendalami liriknya satu persatu terlebih dahulu. Syukur semuanya berjalan lancar dan saya tak berdepan sebarang masalah besar," kata anak kelahiran Perak itu.

Meskipun negara masih berdepan krisis penularan pandemik Covid 19, Syafiq sempat menyiapkan muzik video lagu Lenggang sekitar Disember tahun lalu.

Menariknya, muzik video terbabit menuntut dirinya untuk sama-sama menari dan membawakan pelbagai karakter, termasuk watak bapa bermisai tebal.

"Saya memang takut bila dapat tahu kena menari. Saya tak sempat nak masuk kelas menari, tapi beranikan juga diri. Mujur penari yang tebabit banyak memberikan tunjuk ajar. Kalau tidak, pasti haru-biru juga.

"Dari pagi membawa ke malam, baru selesai proses rakaman. Ia memang cabaran baharu buat saya dan apa yang penting hasilnya disukai ramai, itu sudah cukup menggembirakan saya," katanya.

Lagu Lenggang sudah berada di saluran YouTube Indigital Music dan ia juga boleh distrim di semua platform digital.

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 6:20am
d