rap

Roy dijangkiti Covid-19 

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi lagu Ratnaku, Roy mengesahkan dirinya positif Covid-19 tahap empat dan sudah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

   Roy, 57, atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi berkata dia tabah menerima keputusan itu dan reda dengan ketentuan takdir ke atasnya.

   "Ramai juga artis kena Covid-19 tanpa tahu mana puncanya dan macam itu jugalah dengan kisah saya. Apa lagi yang boleh dibuat, selain saya kena reda dan tawakal pada Allah.

   "Ahli keluarga saya juga kini menjalani kuarantin di rumah sekarang, manakala restoran keluarga kami di Banting ditutup sementara," katanya kepada Harian Metro.

   Terdahulu, Roy yang memiliki vokal lantang yang lunak dan pernah menyertai Gegar Vaganza musim keenam pada 2019, dimasukkan ke Hospital Banting tengah malam Sabtu lalu, akibat sesak nafas.

   Dia mulanya ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan tetapi dicadangkan supaya segera mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital oleh doktor bertugas. 

   Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-parunya.

   Roy bagaimanapun, turut menjalani ujian saringan Covid-19 di hospital.

   Dalam laporan Harian Metro semalam, Roy memberitahu dia menangis dan terharu kerana ramai insan yang berhati mulia sudi menghulurkan sumbangan berbentuk wang bagi membantunya. 

  Selain itu, tidak kurang juga ada yang mendoakan kesihatannya semoga dia kembali sembuh dan pulih semula.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 6:59pm
d