rap

'Saya pun orang biasa juga' - Syamsul Yusof

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Tidak ada apa yang bertuah pun," kata pengarah filem dan pelakon popular, Syamsul Yusof, 37, mengenai video dia bergambar dengan anggota polis dan tentera ketika melalui sekatan jalan raya, baru- baru ini.

Syamsul ketika dihubungi berkata, ketika keretanya ditahan polis dan tentera yang melakukan sekatan jalan raya itu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja.

"Ketika ditahan, saya dilayan seperti orang biasa juga. Jika saya ada buat salah, saya tetap dilayan seperti orang lain juga. Tak ada kelebihan pun.

"Namun, mungkin kerana saya dikenali, ketika di sekatan jalan raya itu ramailah anggota polis dan tentera di situ datang ke kereta saya. Ada yang nak bergambar, meminta autograf dan kami bersembang-sembang juga.

"Saya memang menganggap anggota polis dan tentera itu seperti rakan-rakan dan abang saya. Lagi pun, saya ada surat kebenaran untuk keluar bekerja dan merentas daerah," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Syamsul menerusi video berdurasi 15 saat yang dimuat naik di Instagram meluahkan rasa hormat kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan tugas.

Kebanyakan netizen termasuk rakan artis turut meninggalkan komen positif di hantaran itu.

Rata-rata menyifatkan pengorbanan besar sudah dilakukan PDRM dan ATM yang bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, Syamsul berkata, sepanjang tempoh PKP ini juga dia tidak melakukan sebarang aktiviti penggambaran.

Katanya, masa yang ada diguna untuk menyiapkan beberapa skrip filem baharu termasuk sibuk dengan aktiviti proses penghasilan lagu yang akan dirakam dan dilancarkan nanti.

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 3:07pm
d