rap

Suami dianggap kelakar, Ain Edruce tak duga!

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur Pengacara dan pelakon, Ain Edruce tidak menduga pembabitan suaminya, Amirul Hafiz Mustaffa di dalam 'content' YouTube dibuat menjadi tarikan dan berjaya menghiburkan pelanggan di salurannya itu.

Baru-baru, Ain, 30, menggunakan khidmat Amirul sebagai jurucakap untuk tutorial mekap dilakukannya dan video dimuat naik di YouTube itu, kini sudah ditonton lebih 244,000 kali serta menjadi perhatian ramai kerana dianggap kelakar.

Ain berkata bukan mudah sebenarnya untuk dia mengajak suami bersama-sama dengannya untuk membuat 'content' YouTube itu. Katanya, Amirul seorang yang serius dan sangat pemalu.

"Sebenarnya, orang tak tahu setiap kali sebelum nak 'shooting' dengan  Amirul, nak pujuk punyalah susah sebab dia jenis pemalu. Tapi, Alhamdulillah dia sanggup juga melayan kerenah saya.

"Kalau diikutkan, sebenarnya semua 'content' itu dia tak nak buat langsung sebab dia malu, tapi apa pun dia sudi buat sebab nak beri sokongan kepada saya. 

"Saya juga kadang- kadang rasa Amirul dah kena ada dalam 'content' YouTube dibuat kerana seronok apabila sembang berdua dengannya berbanding cakap seorang diri. Tapi, tak tahulah bila dah ada anak nanti mungkin saya tak guna Amirul lagi untuk buat 'content'," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas juga reaksi wajah suaminya yang dianggap kelakar, Ain berkata Amirul memang orangnya serius, Tapi bila dia cuba santai depan kamera, itulah yang jadi lucu sebab di tempat kerja pun, dia agak serius.

Ain berkata dia bersyukur kebanyakan pelanggan salurannya di YouTube sangat suka dengan pembabitan suaminya. Katanya, rata-rata komen diterima sangat positif kerana mereka terhibur dengan 'content' kami.

Mengulas juga mengenai tutorial mekap oleh Amirul itu, Ain berkata suaminya memang tak tahu apa-apa berkaitan peralatan solek wanita. Malah, katanya kebanyakan lelaki memang tak tahu berkaitan mekap ini.

'Bila saya guna Amirul sebagai jurucakap memang jadi kelakar sebab dia tak ada pembayang langsung untuk setiap produk yang saya letak di muka seperti bedak asas, maskara pembayang mata dan apa sahajalah, dia tak tahu pun.

"Memang seronok dan geli hatilah tengok, sebab dia main cakap ikut suka. Apapun, sekarang memang saya mengaku sangat selesa dapat buat 'content' bersama-sama suami," katanya.

Ain dan Amirul yang juga seorang ahli perniagaan bernikah pada Ain dan bernikah pada 13 Disember 2019. Kini, Ain hamil anak pertama dan usia kandungannya enam bulan.

Disiarkan pada: January 31, 2021 @ 12:15pm
d