rap

Sheila Rusly bakal terima menantu

Oleh Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Penerbit dan pelakon, Sheila Rusly meluahkan rasa syukur apabila anak lelakinya, Uzair Haqimy selamat mengikat tali pertunangan dengan pelakon Elisya Sandha pada jam 3.30 petang, hari ini. 

Sheila ketika dihubungi berkata, dia hilang kata-kata apabila anak tercinta kini sudah melangkah ke fasa baharu dalam hidup. 

"Alhamdulillah majlis pertunangan hari ini berjalan dengan lancar. Majlis yang diadakan di kediaman Fasha Sandha dibuat secara tertutup dan penuh sederhana. 

"Hanya 15 tetamu sahaja yang hadir mewakili ahli keluarga kedua-dua belah pihak. 

"Jujur, sukar untuk saya gambar perasaan ketika ini. Macam-macam perasaan sedang bermain sekarang," katanya. 

Menurut Sheila, majlis pernikahan membabitkan anak sulung dengan Elisya akan diumumkan nanti. 

"Tarikh nikah akan kami kongsikan kemudian. Malah hantaran juga adalah rahsia mereka. 

"Apapun terima kasih atas doa yang diberikan dan saya harap hubungan mereka akan terus berkekalan dan dipermudahkan," katanya.

 

Disiarkan pada: January 31, 2021 @ 10:37pm
d