rap

Hamid Gurkha sedih tak dapat ziarah arwah Jamali Shadat

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Dalam keadaan sekarang, nak ziarah jenazah tak boleh. Lagipun Pak Hamid tak kuat lagi. Semasa arwah sakit pun, dia tak dapat pergi melawat," kata Timah Abdul Hamid, 78, isteri kepada pelawak dan pelakon veteran, Hamid Gurkha, 88, mengenai pasangan serasi Hamid di pentas komedi, Datuk Jamali Shadat yang meninggal dunia hari ini.

Timah ketika dihubungi berkata, mereka dimaklumkan berita sedih itu oleh salah seorang anak Jamali yang menghubungi mereka, pagi hari ini.

"Sebagai rakan baik, sudah tentulah Pak Hamid sedih. Dia pun tak sihat dan kini mengalami masalah pendengaran. Nak ziarah pun sukar, jadi Pak Hamid hanya boleh ucapkan takziah dan sedekahkan al- Fatihah apabila rakan baiknya itu meninggal dunia," katanyanya.

Hamid atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman yang kini menetap di Taman Sri Andalas, Klang adalah pasangan serasi Jamali ketika beraksi di atas pentas komedi bermula pada era 1970-an dan 1980-an. Mereka juga pernah menghasilkan album sketsa Jenaka Pilihan Jamali Shadat dan Hamid Gurkha terbitan Life Records.

Disiarkan pada: February 3, 2021 @ 12:30pm
d