rap

Aeril Zafrel nak bantu ramai orang

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon, Aeril Zafrel membuka perniagaan baharu berasaskan makanan ringan di bawah jenama Rielkies yang bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat yang terjejas ekoran penularan Covid-19.

Aeril berkata, dia sudah mendapat 2,000 peniaga yang mahu memasarkan produk itu yang bakal dilancarkan pada 21 Februari ini.

"Produk untuk perniagaan ini belum dilancarkan lagi, tapi alhamdulillah sudah 2,000 peniaga yang mahu turut serta. Pada awalnya saya mencari 1,000 saja, tapi atas permintaan saya tambah lagi.

"Kebanyakan yang menghantar mesej peribadi (DM) adalah mereka yang diberhentikan kerja, ingin membantu suami dan gaji dipotong. Malah, ini juga tujuan utama saya mewujudkan perniagaan ini yang mana ingin membantu mereka yang benar-benar memerlukan sumber pendapatan," katanya.

Aeril berkata, dia yakin perniagaan itu akan berkembang maju dan disebabkan itu dia memilih untuk menjalankan operasi perniagaan di wisma.

"Doakan saya menjadi sebaik-baik manusia dan menjadi sebaik-baik ketua, Insya-Allah. Jika orang tanya kenapa terus ambil wisma untuk perniagaan baru ini, sebab saya yakin perniagaan baru saya ini memang boleh pergi jauh.

"Niat saya untuk melabur dalam perniagaan adalah untuk membantu lebih ramai lagi dan semoga memberi manfaat kepada mereka," katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2021 @ 2:25pm
d