rap

Christopher Plummer meninggal dunia

Oleh Agensi

Pemenang Oscar, Christopher Plummer meninggal dunia di kediamannya di Connecticut, Amerika Syarikat, semalam.

Plummer yang terkenal menerusi filem The Sound of Music menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun.

"Plummer adalah lelaki luar biasa yang sangat mencintai dan menghormati kerjaya seninya," kata rakan yang juga pengurus peribadinya, Lou Pitt

Selain membawa watak sebagai Kapten Von Trapp dalam filem muzikal pada 1965 bersama Julie Andrews itu, Plummer turut mencipta sejarah apabila menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Oscars atau Academy Awards menerusi filem Beginners pada 2011.

Dia juga pernah dicalonkan untuk kategori sama di Oscars pada 2009 menerusi filem The Last Station dan All the Money in the World pada 2018.

Pada usia 80-an, Plummer tetap sibuk dan masih membintangi film Knives Out pada 2019.

Antara watak penting yang dijayakan adalah sebagai wartawan, Mike Wallace dalam The Insider, seorang jeneral Klingon dalam Star Trek VI: The Undiscovered Country dan suara penjahat dalam filem animasi Pixar, Up.

Plummer memulakan kerjaya seni pada 1950-an apabila muncul dalam beberapa produksi teater dan layar sebelum berlakon dalam The Sound of Music.

Disiarkan pada: February 6, 2021 @ 10:45am
d