rap

Azhan ajak derma darah

Oleh Norhayati Nordin

PERKONGSIAN berita mengenai bekalan darah yang kritikal di Perlis ketika ini membuatkan pelakon Azhan Rani, 45, meminta orang ramai yang sihat untuk bersama-sama menderma darah.

Azhan yang sudah 35 kali menderma darah sejak sedekad lalu berharap orang ramai turun padang membantu demi menyelamatkan nyawa mereka memerlukan.

"Saya sentiasa mendapat maklumat terkini berhubung bekalan darah daripada Pusat Darah Negara (PDN). Oleh itu, saya harap akan ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan untuk menderma darah.

"Aktiviti ini boleh dibuat secara berkumpulan daripada persatuan mahupun badan bukan kerajaan (NGO). Saya percaya setiap ahli mereka yang sihat, boleh diusahakan tampil menderma,' katanya.

Azhan yang akan ke PDN pada 16 Februari ini untuk menderma darah berkata, pasukan Summit Attack Resources (SAR) juga dalam perancangan hendak meneruskan kempen kemasyarakatan ini.

"Pasukan SAR merancang mengadakan program derma darah ini sebagai aktiviti rasmi pasukan secara berkala pada masa hadapan. Malah, untuk itu SAR mengambil inisiatif dengan menggiatkan lagi kempen di media sosial.

"Ia bagi mengajak orang ramai dan menyuntik kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan derma darah. Selain itu, SAR juga bercadang mengadakan kempen ini secara besar-besaran dengan menggabungkan semua kumpulan atau syarikat berkaitan sukan rekreasi untuk turut serta," katanya.

Menurut Azhan, semoga usaha murni yang mahu dibuat pasukan SAR ini membuahkan hasil walaupun negara masih berdepan krisis penularan Covid-19.

Tidak hanya usaha merancakkan kempen menderma darah, pasukan SAR juga sekarang aktif menggerakkan misi menghulur bantuan keperluan berupa barangan makanan kepada keluarga berpendapatan rendah.

"Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pasukan SAR bekerjasama menguruskan penyaluran sumbangan kepada keluarga asnaf. Selain menyumbang barangan keperluan dapur dan makanan asas, tidak dilupakan sumbangan wang untuk perbelanjaan juga.

"Setakat ini, hampir 40 keluarga yang SAR kenal pasti untuk menerima sumbangan disediakan. Rata-rata penerima berkenaan dari kawasan Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Banting," katanya.

Menurut Azhan, program kemasyarakatan ini wajar dibuat berikutan banyak keluarga terjejas pendapatan akibat Covid-19.

Katanya, pada masa sekarang kita pun tidak pasti bila keadaan akan pulih.

Apa-apa pun, katanya kehidupan tetap perlu diteruskan dan semua orang perlu gigih teruskan usaha.

Menurut Azhan, dia berharap usaha dibuat pasukan SAR dalam misi tanggungjawab membantu masyarakat itu berjalan lancar.

Disiarkan pada: February 7, 2021 @ 6:20am
d