rap

Ziha dikecam pengacara hanya kerana dekorasi dapur

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Ziha Salleh, 26, mengakui terkejut dan berasa terkilan dengan perkongsian berbaur kecaman ke atas dirinya yang dibuat seorang pengacara lelaki terkenal di Twitter, baru-baru ini.

Ziha atau nama sebenarnya Nor Aziha Md Salleh pernah menyertai Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) dan membintangi beberapa drama termasuk, Dia Semanis Honey sebagai Ara, adik Ahnaf Wafiy lakonan Alif Satar.

Mengulas mengenai kecaman itu,  Ziha berkata dia mengetahui mengenainya daripada kiriman mesej dihantar oleh rakan-rakan dan pengikutnya di media sosial yang berkongsikannya.

"Terus-terang, saya bersama suami, Zarul Hafis sangat terkejut dengan kecaman dibuat pengacara popular itu memandangkan kami tidak saling mengenali secara baik dan rapat pun.

"Ditambah, perkongsian video Tik Tok saya yang dikecamnya itu berkaitan dekorasi dapur. Sebagai wanita sudah berkahwin, isteri dan ibu, rasanya bukan satu kesalahan pun saya berkongsi tatarias dapur di media sosial.

"Sebagai suri rumah, selain menjaga anak dan keluarga, ada kalanya saya membuat video menunjukkan dekorasi rumah. Ini pun bukan benda baharu yang dibuat, kerana sejak tahun lalu saya sering berkongsi video dekorasi dan tatarias.

"Cuma, saya tak nafikan perkongsian video dekorasi dapur yang dibuat di Tik Tok itu menjadi perhatian. Namun, tak sangka juga ia mengundang rasa geram dan kurang selesa pengacara berkenaan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ziha, dia memohon maaf kepada sesiapa yang geram, sakit hati dan kurang selesa dengan perkongsian video dekorasi dapurnya di Tik Tok itu. Katanya, dia berkongsi sekadar suka-suka dan untuk inspirasi.

"Bagaimanapun, saya terkilan apabila ibu bapa turut diheret sama selain dilemparkan kata-kata kesat. Saya dan suami, kami berusaha sedaya mampu mencari pendapatan halal untuk menyara anak-anak dan keluarga.

"Saya terima dengan terbuka jika dia  mengecam saya seorang. Tapi, bila membabitkan ibu bapa dan keluarga, saya terguris. Kalau nak kecam pun, tolong hormati ibu bapa dan keluarga saya. Dalam soal ini, saya percaya sesiapa sahaja akan sedih dan terguris apabila ibu bapa diheret sama," katanya.

Menurut Ziha lagi, selama ini dia tidak pernah bermasalah atau cuba mencari pasal dengan orang lain. Tapi, kenapa secara tiba-tiba ibu bapa dan keluarganya dikecam seteruk itu dengan kata-kata cukup kesat.

"Sebenarnya, selama ini saya kagum dan menghormati bakat dimiliki pengacara tersohor itu. Bagi saya dan suami, dia memang orangnya berbakat besar kalau diukur pada pencapaian dan kredibilitinya dalam bekerja.

"Apapun, saya tidak minta dia memohon maaf, tetapi doakan yang baik-baik sahaja. Semoga kita semua lebih berhemah dalam penulisan yang dikongsi di media sosial dan hormatilah perasaan orang lain," katanya.

Ziha yang mendirikan rumah tangga dengan Zarul Hafis Zarak Kamal pada 2016, kini bahagia dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Zarul Hizqeel, 4, dan Zarul Hazreel, berusia 10 bulan.

Disiarkan pada: February 7, 2021 @ 7:45pm
d