rap

Air mata Riena Diana

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Riena Diana mengalirkan air mata sebaik mendengar perkongsian seorang wanita orang kurang upaya (OKU),  Siti Mariam Ismail yang terpaksa berdepan dugaan berat sejak tahun 2012 di Instagram Live, baru-baru ini.

Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamariena Diana Zulreal, 24, berkata, setiap minggu dia akan melakukan sesi perkongsian itu secara langsung bersama insan-insan yang terpilih.

Sebagai permulaan, Riena mendengar pengalaman pahit dan manis Siti Mariam sehingga beberapa kali dia terlihat menitiskan air mata.

"Melihatkan ramai orang di luar sana mengalami kesempitan hidup dan bersusah payah mencari rezeki, saya terinspirasi untuk mengadakan segmen perkongsian itu, sekali seminggu.

"Pada Khamis lalu, perkongsian saya bersama kak Siti Mariam benar-benar mengundang sebak. Jadi, kita sama-sama berkongsi rezeki dan yang mana saya boleh bantu, saya akan cuba tolong mereka.

"Saya hanya mahu membantu sahaja, tak sangka pula ia diperkatakan di laman Twitter," katanya.

Terdahulu, sedutan video Instagram Live Riena bersama Siti Mariam mendapat ratusan 'retweet' di laman Twitter dan diperkatakan oleh warganet.

Menurut Riena lagi, dia kagum dengan semangat cekal dan tabah yang dimiliki Siti Mariam walaupun  memegang status OKU.

Berjaya bangkit untuk meneruskan hidupnya, kini Siti Mariam adalah usahawan dan pengasas produk kesihatan C-MARY.

"Kak Siti Mariam memegang status OKU kerana insiden tergelincir pada awal 2012 sewaktu pulang dari bekerja membuatkan dia tak mampu berjalan seperti biasa.

"Biarpun diuji dengan pelbagai dugaan yang tak tertanggung, kak Siti Mariam nekad untuk mencari penawar penyakitnya sehinggalah tampil dengan produk sendiri dan akhirnya sembuh.

"Apa yang kak Siti Mariam kongsikan, sangat menyentuh perasaan kita. Bila dengar pun, automatik kita akan rasa, Ya Allah, bersyukurnya apa yang saya ada sekarang.

"Contohnya, macam saya sendiri. Beberapa hari lepas menangis kerana risau dengan kehidupan serta terpaksa bekerja keras. Tapi, apa-apa pun sebenarnya ada orang lain lagi yang lebih susah daripada saya.

"Jangan sesekali mengeluh kerana ada orang lain lebih susah daripada kita. Sebagai contoh, kisah kak Siti Mariam yang bangkit membuktikan dia tetap kuat dan mampu berjaya," katanya.

Perkongsian Riena mendapat pujian ramai apabila sikap prihatin pelakon Kampung People ini yang sudi meluangkan masa dan berkongsi platform media sosialnya untuk membantu mereka yang memerlukan.

 

Disiarkan pada: February 14, 2021 @ 7:32pm
d