rap

Fokus digital dan media sosial

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Syarikat rakaman Indigital Music Sdn Bhd antara yang terjejas sejak penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini bergantung harap kepada pembayaran kandungan yang dimuat naik di YouTube serta bayaran muzik di platform digital.

Pengarah Urusannya, Nana Mohamad Rom berkata, ramai penyanyi di bawah naungan Indigital Music turut terjejas kerana tidak dapat membuat persembahan sejak pelaksanaan PKP awal tahun lalu.

"Bagaimanapun, kami akur dengan arahan kerajaan dan mencari penyelesaian lain untuk menampung bayaran gaji pekerja setiap bulan.

"Buat masa ini, kami banyak memuat naik video kandungan menarik di YouTube sebagai salah satu cara untuk menjana pendapatan. Selain itu, kami juga aktif mempromosikan lagu baru di media sosial supaya peminat membelinya di platform digital," katanya.

Menurut Nana, aktiviti promosi untuk memperkenalkan single baharu penyanyinya di pasaran turut terhad.

"Sejak penularan Covid-19 dan pelaksaan PKP, aktiviti promosi di stesen televisyen, radio dan media turut terbantut apabila kami tidak dapat mempromosikannya secara menyeluruh.

"Ada stesen radio yang tidak mengizinkan kami datang untuk memperkenalkan lagu baru kerana mereka tidak menerima pelawat buat sementara waktu. Malah kebanyakan program TV pun hanya menjalankan temu bual secara dalam talian saja" katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2021 @ 4:31pm
d