rap

Penampilan Vanessa disamakan wanita berkulit hitam

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Vanessa Raynauld, 21, sedih dan terkilan apabila menjadi mangsa buli siber apabila diserang seorang netizen dengan komen berunsur perkauman.

Menerusi komen itu, individu berkenaan mengutuk imej Vanessa yang disamakan dengan wanita berkulit hitam dan penampilannya dikatakan tidak sesuai untuk industri hiburan tempatan.

Penyanyi lagu Putus itu mengakui tidak kisah jika komen diberikan membina. Bagaimanapun, baginya komen membabitkan perkauman itu sangat biadap dan tidak wajar.

"Sebagai figura awam, saya kena terima kritikan dari sudut positif. Jika komen terbabit melampau, saya kena bersuara dan mempertahankan diri.

"Ya, saya pun manusia biasa, yang ada hati dan perasaan. Tapi, kita tidak akan tahu apa kesan komen berunsur buli siber sebegini kepada seseorang.

"Tolonglah hentikan buli siber kerana ia tiada kebaikan pun. Tolong berhati-hati dengan kata-kata kamu dan jagalah hati perasaan orang lain," katanya.

Vanessa yang juga naib juara The Masked Singer Malaysia itu bagaimanapun bersyukur apabila mendapat kata-kata sokongan daripada pengikutnya.

Menurut Vanessa, dia tidak akan menurut kata netizen terbabit semata-mata hendak memuaskan hatinya. 

"Imej saya adalah identiti saya dan berbangga dengannya. Justeru, saya takkan ubah imej saya untuk sesiapa selain atas kehendak sendiri," katanya.

Terdahulu Vanessa berkongsi tangkap skrin komen yang ditinggalkan individu terbabit di YouTube video muzik lagunya, Putus ciptaan komposer Farouk Roman dan Amylea.

Individu terbabit meminta dirinya pergi negara luar dengan imej seakan wanita kulit hitam sebegitu. Bahkan, individu terbabit turut menyebut perkataan 'negro' dalam komen yang ditulis.

Disiarkan pada: February 17, 2021 @ 1:25pm
d