rap

Single pertama sentuhan Lia

Oleh Norhayati Nordin

WALAUPUN sudah merakamkan single solo pertama, tapi bakat baharu dikenali sebagai Lia Aziz perlu menunggu buat seketika sehingga muzik video lagunya siap sepenuhnya.

Lia, 17, yang dijangka akan muncul dengan lagu hasil ciptaan sendiri berjudul Kucu Kuca kini juga sibuk memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sekarang, fokus saya pada pelajaran kerana SPM sangat penting untuk hala tuju masa depan dalam pendidikan kerana saya mahu melanjutkan pengajian ke universiti.

"Antara menyanyi dan belajar, keutamaan saya tetap pada pelajaran. Pembabitan dalam nyanyian kerana minat disebabkan saya banyak membuat 'cover' lagu di Instagram," katanya.

Mengakui bakat nyanyiannya mendapat perhatian syarikat Rusa Music bermula di platform media sosial, Lia menganggap ia rezeki buatnya mengorak langkah dalam kerjaya seni.

"Saya banyak membuat 'cover' lagu popular di Instagram sebelum ini dan kemudian mendapat lamaran daripada Rusa Music untuk menjadi penyanyi rakaman.

"Ketika itu video nyanyian saya yang tular di media sosial adalah lagu Empat Dara. Alhamdulillah, syukur ia membawa peluang buat saya bergelar penyanyi tanpa disangka," katanya.

Jelas pemilik nama sebenar Nur Aliah Faizana Abdul Aziz ini, dia pada mulanya bimbang untuk membuat keputusan sama ada mahu atau tidak menerima tawaran Rusa Music itu.

Ini kerana dia melihat diri masih remaja dan kurang pengalaman. Ditambah pula, dia banyak menyanyi di platform Instagram sahaja.

"Apapun, memandangkan sudah rezeki akhirnya saya nekad mengambil peluang itu kerana mendapat sokongan padu daripada keluarga terutama ibu bapa.

"Ibu bapa tahu saya minat menyanyi dan mereka sentiasa beri dorongan supaya saya terus mencuba. Jadi, kenapa perlu lepaskan peluang," katanya.

Berbicara mengenai lagu Kucu Kuca, Lia berkata, dia sangat bersyukur dapat ketengahkan lagu genre pop hasil ciptaan sendiri sebagai karya solo pertama.

Walaupun amat sukakan lagu balada dan R&B, Lia dia amat gembira untuk muncul dengan percubaan pertama melalui lagu beridentitikan diri sendiri yang menjadi harapannya.

Disiarkan pada: February 18, 2021 @ 6:00am
d