rap

Harap peminat tak 'bosan'

Oleh Norhayati Nordin

WALAUPUN penularan Covid-19 hingga kini belum berakhir, namun perjalanan kerjaya seni perlu diteruskan.

Bagi kumpulan Kristal, harapan tetap dipertaruhkan berikutan mereka juga tampil dengan lagu baharu berjudul Bosan ciptaan Ejai Aziz tahun lalu.

Kristal yang dianggotai Rody sebagai pemain gitar, Kechiq (bass) dan Acap (dram) turut muncul dengan penyanyi baharu iaitu Ewal Ismail.

Menurut Ewal, apa yang diharapkan Kristal adalah lagu Bosan yang dilancarkan Oktober tahun lalu terus diterima baik pendengar muzik dan peminat.

"Kami berharap akan dapat meneruskan perjuangan muzik ini sehingga berjaya dan mahu sentiasa kekal relevan.

"Saya sendiri sedia berjuang dengan Kristal kerana kami memiliki matlamat sama. Kami mahu terus berkarya dalam bidang muzik dengan berkongsi pelbagai idea segar.

"Apapun, dengan kehadiran single Bosan ini kami mahu peminat Kristal dan pendengar muzik menilai hasil kerja yang dibuat dengan baik dan positif," katanya.

Menurut Ewal, antara dia dan Kristal, masing-masing ada pengalaman yang lama dalam bidang muzik. Cuma, sekarang mereka baru berpeluang bergabung untuk mengukuhkan kumpulan itu.

"Pembabitan saya bersama Kristal kini adalah rezeki dan selain itu, saya juga berkebolehan menyanyi pelbagai genre lagu. Malah, saya serasi dengan semua anggota Kristal.

"Kami boleh berbincang dan bertukar fikiran dan kami juga saling menyokong. Sekarang, apa yang kami ingin dan harap semoga lagu Bosan terus mendapat sokongan," katanya.

Menurut Ewal yang mewarisi bakat seni daripada bapanya yang juga bekas penyanyi Wings iaitu Mel, minat pada nyanyian yang terlalu mendalam selama ini membuatkan dia tidak gentar terus mencuba dan enggan berputus asa.

Katanya, tiada kejayaan datang bergolek tanpa usaha. Oleh itu, selagi ada peluang, dia tidak mahu melepaskannya begitu sahaja. Dia juga yakin dengan sokongan peminat.

"Saya sudah menyanyi sejak kecil dan pelbagai pertandingan nyanyian saya sertai hingga ke Hollywood. Jadi, saya takkan mengalah kerana yakin rezeki masih tetap ada dalam kerjaya seni ini," katanya.

Terdahulu, muzik video lagu Bosan yang dimuat naik di platform YouTune MVM Music, hingga kini mencatat lebih 153,000 tontonan. Malah, lagu Bosan juga boleh diperdengarkan menerusi pelbagai pelantar muzik digital.

Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 6:46am
d