rap

'Doakan kebahagiaan kami' - Hannah Delisha

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Saya minta maaf sebab memang kurang selesa berkongsi hal peribadi," kata pelakon Hannah Delisha mengenai majlis pernikahan dengan suami, Imam Shah di Singapura, semalam.

Hannah, 25, atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne-Birch berkata, selama ini dia mengambil pendekatan untuk tidak berkongsi di laman sosial mengenai kisah peribadi.

Malah, untuk majlis pernikahan itu, Hannah dan suami yang juga pelakon di Singapura memilih untuk melaksanakan perkara wajib dahulu.

"Alhamdulillah saya sangat gembira dan bersyukur kepada Allah kerana semuanya berjalan dengan lancar. Saya memang tak pernah nak muat naik dalam media sosial yang saya bercinta selama ini. Ini kerana bagi saya, biarlah kita sah dahulu barulah kita nak kongsi. Kita dahulukan yang wajib. Itu yang lebih utama," katanya.

Terdahulu, pernikahan pasangan itu didaftarkan di Registry of Marriage Singapore atau Biro Lesen Perkahwinan Singapura.

Majlis secara kecil-kecilan yang diadakan di negara kelahiran Hannah itu dibuat secara tertutup dengan hanya dihadiri beberapa ahli keluarga dari kedua pihak saja.

Hannah berkata, dia sudah lama mengenali Imam Shah sejak mereka berlakon bersama di Singapura lima tahun lalu.

"Saya kenal Imam ketika kami menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Faculty di Singapura lima tahun lalu.

"Imam seorang yang sangat penyabar, penyayang dan kelakar. Dialah yang sebenarnya banyak mendorong saya untuk lebih cenderung ke arah keagamaan. Alhamdulillah saya sekarang sedikit sebanyak adalah hasil bimbingan Imam juga," katanya.

Hannah yang juga pelakon drama Tercipta Satu Ikatan memohon doa peminat dan orang ramai.

"Saya pohon semua untuk mendoakan kebahagiaan rumah tangga kami dan teruslah menyokong kerjaya saya. Majlis bersanding kami akan umumkan nanti. Insya-Allah, kami buat secara bersederhana sahaja untuk keluarga dan teman rapat.

"Mengenai tarikh, saya tak boleh nak beritahu lagi sebab biarlah kes Covid-19 yang sedang menular di seluruh dunia ini tamat dahulu. Bila keadaan kembali normal, barulah kami akan kongsi tarikh majlis bersanding," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, tahun ini dia fokus kepada bidang nyanyian dan V-Log di YouTube.

"Saya sebenarnya sedang sibuk mempromosikan single terbaru berjudul Terlalu Mudah. Untuk bidang lakonan saya takkan tinggalkan, cuma akan lebih memilih naskhah yang sesuai dengan penampilan sekarang.

"Saya juga nak cuba rezeki dalam bidang perniagaan pula. Insya-Allah, tak lama lagi saya akan keluarkan rangkaian pakaian RTW dan Exclusive berjenama Délicia. Sekarang masih dalam peringkat pemilihan material dan rekaan. Saya jangkakan dalam beberapa bulan lagi akan siap sepenuhnya," katanya.

Berita berkaitan

  • Hannah Delisha kini isteri orang
  • Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 2:01pm
    d