rap

JBond tak sia-siakan bakat

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BARANGKALI segelintir peminat masih mengingati pasangan duo adik-beradik popular yang dikenali sebagai Cenderawasih.

Selepas itu kita seakan ketandusan penyanyi yang tampil dengan konsep sebegini lagi.

Justeru, dua beradik iaitu Mohamad Jamali Ramli atau Jamm, 27, dan Mohamad Jeffry Ramli atau Jepp, 23, bergabung menerusi duo JBond.

Mereka yang berasal dari Perak kini tampil dengan single hasil ciptaan sendiri berjudul Pedih.

Nama JBond diilhamkan oleh Jamm sebagai mengambil nama adik-beradiknya.

"Huruf J ini diambil sempena nama ketiga-tiga adik-beradik kami yang semuanya bermula dengan huruf J iaitu Jamali, Jeffry dan Johari.

"Perkataan Bond pula digunakan bagi melambangkan pertalian adik-beradik kami yang sangat rapat. Sejak kecil, kami berdua sudah menunjukkan minat dalam bidang nyanyian," kata Jamm.

Menurutnya, mereka sentiasa mengisi masa lapang dengan berkaraoke dan ia juga adalah hobi mereka.

"Sebenarnya bakat kami sudah lama dikesan dan disedari kedua-dua orang tua kami. Bahkan ketika di sekolah rendah, bakat kami mula digilap apabila saya dilantik menjadi ketua boria dan Jebb pula dilantik menjadi ketua nasyid.

"Kami juga mula menyertai pelbagai pertandingan sehingga tamat sekolah rendah," katanya.

Memasuki sekolah menengah, mereka terus mengembangkan bakat dengan mendalami ilmu muzik apabila menyertai Pasukan Pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar.

"Banyak pengalaman baru kami kutip menerusi pelbagai alat muzik yang dipelajari bersama pancaragam ini. Disebabkan minat men

dalam terhadap muzik, kami juga mula belajar bermain gitar dengan bapa saudara yang mahir bermain gitar dan alat muzik.

"Bakat bermain gitar kami tak disia-siakan begitu sahaja dan turut ditonjolkan dengan mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan di sekolah menengah," katanya.

JBond beruntung kerana mendapat sokongan pihak sekolah yang menjemput mereka membuat persembahan untuk pelbagai majlis.

"Sokongan ibu bapa dan semua pihak amat menyuntik semangat kami untuk berkarya. Kami mendapat keyakinan untuk membuat video nyanyian dan memuat naik di media sosial.

"Namun, ia bukan semudah yang dijangka kerana sambutannya tidak seperti yang diharapkan pada mulanya," kata Jepp.

Sekali lagi ibu bapa dan rakan-rakan menyuntik semangat dan berbekalkan sokongan ini, JBond terus membuat video nyanyian dan meletakkan di pelbagai platform antaranya Facebook, Instagram dan YouTube.

"Kami juga mula aktif mengarang dan mencipta lagu sendiri. Syukur kami akhirnya berjaya muncul dengan single ini. Ia sudah pun dilancarkan di platform digital seperti Joox, Deezer, Youtube dan Spotify," kata mereka.

Terkini, JBond mahu mengorak langkah lebih jauh apabila mahu bekerjasama dengan penyanyi popular, Najwa Latif.

"Hasrat kami sudah diluahkan kepada pengurusan Najwa dan diharapkan akan mendapat jawapan positif," kata Jamm.

Disiarkan pada: February 20, 2021 @ 6:46am
d