rap

Cuit sikap ahli politik, Monty Tiwa tak bimbang impak negatif filemnya

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pengarah filem Layla Majnun, Monty Tiwa tidak bimbang sekiranya filem arahannya itu bakal memberi impak negatif kepada segelintir ahli politik Indonesia apabila memaparkan sikap buruk golongan itu dalam karya berkenaan.

Monty ketika dihubungi berkata, dia bertindak  memaparkannya berikutan sikap negatif itu boleh ada dalam diri sesiapa sahaja yang bergelar manusia.

"Saya cukup tersanjung sekiranya karya saya dikatakan memberi impak negatif kepada ahli politik. Tanpa perlu dibantu, mereka sebenarnya sudah cukup bagus dalam memberi kesan negatif, jadi tak perlu ada rasa bimbang.

"Saya di sini memberikan sebuah cerita di mana, tentu saja ada salah dan benar, ada baik dan jahat. Namun, walau apa pun elemen positif dan negatif yang dipaparkan, kami tidak mengatakan ia adalah kerana orang itu ahli politik, orang itu orang Indonesia, atau orang itu orang Azerbaijan.

"Tetapi, kerana ia adalah sifat yang ada dalam diri manusia," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, setiap manusia ada kelemahan dan kekuatan yang menjadikannya lebih menjurus kepada sesuatu sikap.

"Ini sifat manusia dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang mereka," katanya.

Dalam filem yang ditayangkan di Netflix itu, Monty menggarap karakter antagonis lakonan Baim Wong sebagai calon wakil rakyat yang cuba 'menutup' imej buruknya dengan menggunakan Layla lakonan Acha Septriasa sebagai pasangan.

Turut ditampilkan juga, babak bagaimana ahli politik menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan sesuatu peluang bagi memenuhi agenda peribadi mereka.

Selain Acha dan Baim, filem Layla Majnun turut dibintangi pelakon terkenal, Reza Rahadian.

 

Disiarkan pada: February 21, 2021 @ 4:02pm
d