rap

Peluang kembang bakat

Oleh Najiy Jefri

KEJAYAAN dua wanita muda bernama Dayangku Rulqaeyda Awangko Hamdan dan Elisa Diyana Zulkefli menerusi peraduan #SHECAN Fund X Yuna anjuran jenama Kotex membuktikan kehebatan mereka dalam bidang seni suara.

Siapa sangka, dalam banyak penyertaan yang diterima, dua wanita manis ini dipilih sebagai pemenang sekali gus mendapat peluang menjalani latihan bersama penyanyi ternama negara, Yuna.

Elisa atau lebih mesra disapa sebagai Lisa berkata, dia terkejut apabila bakat nyanyiannya dipilih sebagai pemenang

dan berpeluang menimba ilmu dengan Yuna.

"Pada mulanya saya terkejut apabila mendapat berita mengenai kemenangan ini sehinggakan saya ambil gambar pengumuman itu untuk memastikan saya tak bermimpi.

"Jika dilihat, kesemua pesaing yang terbabit dalam pertandingan ini memiliki bakat

masing-masing dan saya mengagumi keunikan mereka. Saya begitu tertarik dengan tahap kreativiti dan keyakinan yang tinggi yang ditonjolkan oleh setiap peserta, dan sifat persaingan sihat ini juga banyak memberi inspirasi kepada saya.

"Peraduan ini juga memberi peluang untuk saya turut sama berinteraksi dan menjalinkan hubungan persahabatan dengan mereka," katanya.

Tambah Lisa, dia mengagumi bakat yang dimiliki Yuna dan mengidolakan penyanyi itu kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Yuna adalah idola yang amat hebat untuk anak-anak muda di Malaysia. Saya sentiasa mengagumi kecekalannya dalam mencorak dan mengorak langkah dengan cara tersendiri.

"Ketika dapat tahu Yuna memilih saya, segala macam perasaan berbaur dalam hati. Saya berasa terharu dan gembira kerana diberi peluang untuk berinteraksi, berborak, dan belajar dengannya," katanya.

Siapa sangka, peraduan #SHECAN Fund X Yuna membuatkan dia lebih yakin untuk mengintai peluang dalam bidang seni.

"Sebelum ini, saya tidak pernah sekalipun mengintai peluang untuk memasuki bidang seni kerana muzik dan nyanyian hanyalah sekadar hobi pada masa lapang.

"Namun sekarang, saya akui memandang serius untuk mengembangkan peluang yang ada dan meneruskan pengembaraan muzik saya dengan lebih mendalam," katanya.

Sementara itu, Dayang pula turut meluahkan rasa syukur kerana dipilih sebagai pemenang untuk peraduan terbabit, sama seperti Lisa. Katanya, dia juga kagumi Yuna.

"Saya bersyukur dan teruja kerana memenangi peraduan ini. Pada awalnya, saya akui gementar kerana pesaing lain semuanya hebat dan sangat berbakat.

"Namun syukur alhamdulillah, saya dipilih sebagai salah seorang pemenang dan ia satu penghormatan kerana kemenangan ini benar-benar di luar jangkaan," katanya.

Tambah Dayang lagi, dia belum bersedia memasuki dunia nyanyian namun jika diberi peluang dia teringin mencabar diri.

"Muzik adalah satu platform untuk meluahkan ekspresi diri. Saya menghormati ekspresi semua orang yang berbeza, namun pada pandangan saya muzik sebenar mampu menyampaikan mesejnya secara intelektual dan berindentiti.

"Saya amat meminati muzik, tapi tidak melihat diri saya menceburi bidang seni buat masa ini. Namun saya mahu fikirkannya," katanya yang meminati muzik sejak berusia tujuh tahun.

#SHECAN Fund ini ditubuhkan oleh Kotex dengan tujuan memberi inspirasi kepada wanita dan memberikan mereka platform untuk menjadikan cita-cita sebagai realiti. Bukan sekadar memperkaya kehidupan, tapi turut dinikmati me

reka di sekeliling.

Disiarkan pada: February 24, 2021 @ 6:22am
d