rap

Jamal Abdillah kongsi rahsia awet muda

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah mengakui tidak sabar untuk berkongsi rahsia awet mudanya dengan peminat.

Jamal, 62, yang terkenal dengan gelaran Raja Pop berkata, produk serum awet muda ini adalah permulaan untuk produk penjagaan kesihatan yang lain.

"Ia keluaran saya sendiri dan akan disusuli dengan produk seterusnya seperti pencerahan kulit dan kecergasan tenaga.

"Produk di bawah syarikat saya DJA Worldwide ini mungkin akan berada dipasaran sebelum hari raya nanti. 

"Penghasilannya dibuat menerusi gabungan dengan beberapa syarikat lain untuk pendigitalan, pemasaran, pangkalan data dan juga Natasya sebagai pengilang," katanya kepada Harian Metro.

Jamal sebelum ini mengusahakan  perniagaan ikan arowana dan usaha menceburi perniagaan produk kecantikan ini bertujuan sebagai jaminan masa depan keluarganya termasuk anaknya-anaknya iaitu Osama Yamani, 19, dan Ahmad Zaki Yamani, 14, Nur Azura Yamani, 2 tahun dan El Issac Yamani, 4 bulan.

Jamal yang baru tampil berduet dengan Kmy Kmo dan Luca Sickta menerusi lagu Neraca berkata, dia akan memanfaatkan platform media sosial bagi mencari ejen pengedar produknya.

"Apabila sampai masanya, mereka bolehlah mendaftar. Saya mahu kita sama-sama cari rezeki menerusi produk ini.

"Untuk permulaan saya akan keluarkan sebanyak 10,000 unit dahulu. Jumlah ini tiada masalah untuk dikeluarkan.

"Kos dikongsi secara usahasama dengan sebuah syarikat iaitu VRS kerana mereka mempunyai pengguna sedia ada. Mereka akan menyokong saya dan selebihnya saya harap masyarakat juga menyokong saya," katanya. 

Menurutnya, dia pernah mengeluarkan produk pencerahan kulit dan mengurangkan kesan kedutan di bawah syarikatnya iaitu DJAS sebelum ini, namun menemui kegagalan.

"Ketika itu strategi pemasaran silap, namun untuk permulaan jualannya habis juga kerana kaum wanita suka menggunakannya.

"Cuma apabila letak gambar saya, kaum wanita kurang membeli sedangkan produknya bagus dan saya sendiri menggunakannya. 

"Kali ini kami akan meletakkan gambar saya dan isteri sebagai model. Saya tak nak orang anggap ia hanya sesuai untuk lelaki.

"Selepas ini produk lain antaranya rahsia saya cergas dan bertenaga serta masih boleh dapat anak, masih boleh berlari, bersenam pada usia 62 tahun akan menyusul pula," katanya.

 

Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 4:26pm
d