rap

Daqmie buat album solo terakhir!

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi popular lagu Tangis Sebatang Tamar, Daqmie atau Azmee Abdul Manap berkongsi bakal menghasilkan album solo terakhirnya tahun ini.

Daqmie, 49, berkata, dia bukan merajuk dengan industri nyanyian, namun sebaliknya mempunyai strategi sendiri dalam kariernya.

"Inilah strategi apa yang saya nak buat. Saya nak hasilkan album solo terakhir. Istilah album solo ini ialah untuk saya buat kerja solo. Ia akan memuatkan 10 lagu yang saya jangka akan siap pada Januari 2022.

"Album ini akan dilancarkan dan dijual pada bulan berkenaan. Saya nak tumpukan sepenuh perhatian siapkan album ini. Sekarang orang tak hasilkan album penuh dan hanya buat single.

"Jadi, saya nak selesaikan 10 lagu supaya selepas ini saya boleh bergerak selama lima tahun tanpa menghasilkan album solo lagi," katanya.

Juara Anugerah Nasyid 2015 itu berkata, dia menetapkan akan mengeluarkan dua lagu daripada album berkenaan dalam setahun sehingga tempoh lima tahun.

"Ia lebih kurang seperti kita buat single tapi buat awal-awal sebagai simpanan. Penghasilan album ini dibuat menerusi kerjasama dengan Azmi Jamsari, dari syarikat Saudagar Seni.

"Saya akan bekerjasama dengan tiga individu yang mempunyai nama besar dalam industri. Mereka ialah pembuat muzik dan penulis lirik, manakala saya sendiri buat lagu.

"Azmi pula akan menguruskan segala yang berkaitan dengan projek album dinamakan Daqmie Box. Di dalamnya ada CD dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, dia berhasrat menjadi penyanyi pertama dari genre nasyid melakukan perkara itu.

"Andai berjaya nanti orang lain pasti akan ikut. Hafiz Hamidun dah buat tapi hanya untuk lagu sahaja.

"Kali ini saya nak letakkan beberapa perkara yang ada elemennya di dalam kotak itu yang berkaitan dengan setiap lagu yang saya buat.

"Tajuk sementara yang saya fikirkan ialah Suka Sayang Kasih Cinta. Saya akan promosikan hanya dua lagu setiap tahun selama lima tahun. Jadi, saya tak perlu keluar modal yang banyak. Cara pembuatan album sekarang pun berbeza dari dahulu," katanya.

Daqmie pernah tampil dengan dua album solo sebelum ini iaitu Maulaya dan Budi. Dia juga pernah menghasilkan album bersama kumpulan East dan Barongan.

Selain itu dia juga aktif menghasilkan lagu runut bunyi untuk drama, filem dan sebagainya.

Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 10:50pm
d