rap

Fadlan rasa terkilan

Oleh Najiy Jefri

TIADA angin tiada ribut, nama pelakon Fadlan Hazim tiba-tiba terpalit cerita kurang enak yang mendakwa dia berehat sementara dari industri seni hiburan.

Menafikan dakwaan yang timbul, Fadlan berkata, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian malah sentiasa memberikan sepenuh tumpuan terhadap kerjaya lakonannya.

Tambah Fadlan, mungkin gosip itu timbul kerana tiada karya baharu lakonannya di kaca televisyen menyebabkan orang tertanya-tanya.

"Entah macam mana boleh timbul dakwaan mengatakan saya 'berehat sementara'. Mungkin disebabkan saya sudah lama tak keluar TV dengan drama baharu.

"Mungkin juga ada yang terbaca artikel mengenai masalah saya yang bergelut dengan gangguan mental tahun lalu sekali gus mereka beranggapan saya sedang berehat atau menerima rawatan.

"Secara jujurnya saya masih lagi aktif berlakon. Banyak tawaran yang datang cuma penularan wabak Covid-19 sedikit sebanyak menganggu jadual kerja dan waktu siaran drama," katanya.

Terdahulu Fadlan membuat perkongsian menerusi Instagram meluahkan rasa terkilan apabila timbul dakwaan tidak benar mengenai karier seninya.

"Siapa yang pandai-pandai cakap aku 'berehat sementara' dari industri? Aku sakit pun datang set macam biasa, tak pernah minta cuti kecuali kalau kena masuk wad," tulisnya di Instagram Story.

Bebas tanpa sebarang kontroversi barangkali menjadi faktor graf kerjaya lakonannya dilihat sedikit tenggelam.

Perkara terbabit turut diakui Fadlan yang mengakui dirinya tiada kontroversi panas untuk diperkatakan.

"Mungkin salah satu faktor ada pihak mengatakan saya berehat sementara sebab saya tiada kontroversi hingga saya didakwa sudah hilang dari radar.

"Saya seboleh mungkin nak elakkan diri dari sebarang kontroversi. Bukan apa, saya tidak mahu cerita buruk mengenai saya mendapat perhatian. Boleh jadi kontroversi yang berlaku tidak betul," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadlan berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran telefilem berjudul Live Dari Kafe Kona untuk siaran TV3.

"Alhamdulillah saya masih diberi kepercayaan dan peluang untuk berlakon. Sekarang ini pun saya sedang sibuk dengan penggambaran telefilem Live Dari Kafe Kona di samping pelakon Nazim Othman dan Shiha.

"Selain itu saya sedang menanti tarikh tayangan drama bersiri berjudul Wifi Sebelah Rumah yang turut dibintangi Zul Ariffin dan Ruhainies," katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 6:20am
d