rap

The Crown menang besar

Oleh Georgie Joseph

KEMERIAHAN acara berprestij, Anugerah Golden Globe (AGG78) ke-78 semalam agak suram selepas terpaksa dilangsungkan secara maya yan dipancarkan dari The Beverly Hilton, Beverly Hills, California, Amerika Syarikat (AS).

Calon-calon cuma mengikuti acara itu dari rumah masing-masing, demikian juga dua hosnya, Tina Fey dan Amy Poehler mengacarakannya secara berasingan. Fey berada di Rainbow Room, New York, manakala Poehler dari Hotel Beverly Hilton.

Acara berkenaan yang ditunda dua bulan daripada tarikh kebiasaan pada Januari sebenarnya menjanjikan penganjurannya tetap glamor dan berkilau. Disebabkan pandemik Covid-19, tiada perarakan bintang ternama dibuat di karpet merah di luar Beverly Hilton.

Namun begitu, pengikut acara terbabit jelas teruja dengan keputusan AGG78. Rata-rata bersetuju dengan kemenangan pelakon, siri TV, dan filem kegemaran untuk kategori masing-masing.

Seperti dijangka, siri fenomena The Crown yang disiarkan di platform penstriman Netflix meraih kemenangan besar apabila membawa pulang trofi empat kategori utama. Ternyata impak siri berkenaan begitu luar biasa.

Kategori itu adalah Siri TV Drama Terbaik, Aktres Siri TV Drama Terbaik (Emma Corrin), Aktres Siri TV Drama Terbaik (Josh O'Connor), dan Aktres Pembantu TV Terbaik (Gillian Anderson).

Sebuah lagi siri terbitan Netflix iaitu Schitt's Creek yang terlepas pencalonan untuk kategori utama pada edisi sebelum ini nyata turut menyerlah. Ia berjaya memenangi trofi Siri TV Muzikal/Komedi Terbaik serta Aktres Siri TV Muzikal/Komedi Terbaik (Catherine O'Hara).

Untuk kategori filem pula, Nomadlad dan Borat Subsequent Moviefilm unggul apabila Nomadland memenangi Filem Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik (ChloÈ Zhao). Borat Subsequent Moviefilm membawa pulang trofi Filem Muzikal/Komedi Terbaik dan Aktor Filem Muzikal/Komedi Terbaik (Sacha Baron Cohen).

Sejarah juga tercipta buat Zhao apabila menjadi pengarah wanita pertama memenangi trofi Pengarah Terbaik sejak 1984. Kategori itu kali terakhir dimenangi Barbara Streisand menerusi Yentl pada tahun terbabit.

Edisi kali ini juga tidak terlepas daripada kritikan selepas berlaku kesilapan teknikal sewaktu ucapan kemenangan Daniel Kaluuya untuk kategori Aktor Pembantu Filem Terbaik menerusi lakonannya dalam Judas And The Black Messiah.

Bunyi suaranya ditutup dan ucapannya hanya kedengaran sewaktu di bahagian akhir. Penyampai trofi terbabit, Laura Dern turut memohon maaf terhadap kesilapan teknikal itu yang ternyata tidak disengajakan.

Pengarah dan penulis, Lee Isaac Chung yang memenangi kategori Filem Bahasa Asing menerusi Minari pula tampil membidas kritikan mengenai filemnya. Menurutnya, dia menggunakan dialog bukan Inggeris untuk menggambarkan keindahan bahasa asing itu.

"Minari keseluruhannya adalah berkisar kekeluargaan. Keluarga itu cuba belajar sesuatu bahasa dengan sendiri. Ia lebih mendalam berbanding bahasa Amerika atau bahasa asing lain. Ia adalah bahasa hati," katanya.

Beberapa ucapan kemenangan lain pula sudah dirakam awal termasuk ucapan Jon Batiste, Trent Reznor dan Atticus Ross. Mereka memenangi kategori Skor Asli Filem Terbaik menerusi filem Soul.

SENARAI PENUH PEMENANG GOLDEN GLOBES 2021;

  • AKTOR PEMBANTU FILEM TERBAIK: Daniel Kaluuya - Judas And The Black Messiah
  • AKTOR PEMBANTU TV TERBAIK: John Boyega - Small Axe
  • AKTRES SIRI TV MUZIKAL/KOMEDI TERBAIK: Catherine O'Hara - Schitt's Creek
  • FILEM ANIMASI TERBAIK: Soul
  • AKTOR SIRI TERHAD/ANTOLOGI/SIRI/FILEM UNTUK TV TERBAIK: Mark Ruffalo - I Know This Much Is True
  • LAKON LAYAR TERBAIK: Aaron Sorkin - The Trial of the Chicago Seven
  • AKTRES SIRI TV DRAMA TERBAIK: Emma Corrin - The Crown
  • LAGU ASLI FILEM TERBAIK: "Io Si" - The Life Ahead
  • SKOR ASLI FILEM TERBAIK: Jon Batiste - Soul
  • AKTOR SIRI TV MUZIKAL/KOMEDI TERBAIK: Jason Sudeikis - Tedd Lasso
  • SIRI TV MUZIKAL/KOMEDI TERBAIK: Schitt's Creek
  • AKTRES FILEM MUZIKAL/KOMEDI TERBAIK: Rosamund Pike - I Care A Lot
  • AKTOR SIRI TV DRAMA TERBAIK: Josh O'Connor - The Crown
  • FILEM BAHASA ASING TERBAIK: Minari (USA)
  • SIRI TV DRAMA TERBAIK: The Crown
  • AKTRES PEMBANTU FILEM: Jodie Foster - The Mauritanian
  • AKTRES PEMBANTU TV TERBAIK: Gillian Anderson - The Crown
  • AKTRES SIRI TERHAD/ANTOLOGI/SIRI/FILEM UNTUK TV TERBAIK: Anya Taylor-Joy - The Queen's Gambit
  • SIRI TERHAD/ANTOLOGI/SIRI/FILEM UNTUK TV TERBAIK: The Queen's Gambit
  • AKTOR FILEM DRAMA TERBAIK: Chadwick Boseman - Ma Rainey's Black Bottom
  • PENGARAH FILEM TERBAIK: ChloÈ Zhao - Nomadland
  • FILEM MUZIKAL/KOMEDI TERBAIK: Borat Subsequent Moviefilm
  • AKTOR FILEM MUZIKAL/KOMEDI TERBAIK: Sacha Baron Cohen - Borat Subsequent Moviefilm
  • AKTRES FILEM DRAMA TERBAIK: Andra Day - The United States vs Billie Holliday
  • FILEM DRAMA TERBAIK: Nomadland
  • Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 6:50am
    d