rap

Zed Zaidi kena 'troll'

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Kes dakwaan berita palsu saya pun belum selesai, sekarang timbul pula cerita sebegini yang sama sekali bukan datangnya daripada saya," kata Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menafikan kenyataan tidak benar yang terbaharu mengaitkannya berserta foto yang dikongsikan di media sosial.

Menerusi perkongsian itu, Zed dipetik mahu liga bola sepak Malaysia ditunda bagi memberi laluan kepada Karnival Jom Heboh yang turut mengguna pakai logo MyMetro.

"Saya tampil menafikan dengan tegas perkara ini kerana ia fitnah dan memang tak ada pun pihak dari Harian Metro menemubual saya berhubung berita dikongsikan itu (bola sepak).

"Ia umpama orang nak kenakan saya dan komen-komen yang ditulis pula banyak memaki serta mencarut dengan perkataan tidak sepatutnya ekoran dari berita berkenaan yang tersebar," katanya.

Menurut Zed, sudahlah menggunakan gambarnya yang diambil dari My Metro, kenyataan ditulis pula tidak benar dan paling berani turut mengaitkan media yang cukup dikenali seperti Harian Metro bagi memancing tarikan orang ramai supaya yakin dan percaya terhadap perkongsian dibuat.

"Saya memang tak terbabit langsung dengan perkara ini, apa lagi mengeluarkan kenyataan seperti itu. Saya tahu itu 'troll'.Tapi, yang menjadi isunya orang ramai yang menulis komen berlambak-lambak hentam saya kerana mereka yakin serta percaya kerana mungkin ada logo MyMetro itu. Pada hal, saya tidak pernah cakap apa-apa pun.

"Justeru, kepada netizen yang menulis komen memaki dan mencarutkan saya itu sudah dimaafkan. Tapi, bagi netizen yang memang ikhlas nak maki-maki saya carilah saya di akhirat nanti," katanya.

Mengharapkan pihak berkenaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak mengambil tindakan segera yang lebih serius, Zed berkata pihak berkuasa terbabit perlu selalu memantau dan digesa mengambil tindakan tegas.

"Walau tajuk digunakan mungkin bergurau, tapi tetap ada kesan kepada pihak yang dikaitkan seperti saya dan Harian Metro. Malah, yang mana 'admin' blog suka buat berita palsu di media sosial ini dengan mengaitkan nama pihak sebenar, mereka sepatutnya didakwa.

"Mereka (admin blog) memang suka petik-petik nama dan guna gambar, pada hal apa yang ditulis itu memang kita tak pernah cakap pun. Bahkan, ada sesetengahnya itu suka fitnah macam kita yang bercakap.

"Namun, bila kita nak ambil tindakan lanjut seperti undang-undang, tahu pula cepat-cepat mereka tutup blog itu ibarat dah 'baling batu sembunyi tangan'," katanya.

Kesal dengan apa yang berlaku, Zed berkata SKMM kena bertindak pantas dan telus supaya masalah yang semakin berleluasa ini dapat segera dibendung kerana ia terdedah juga untuk pihak 'scammer' dengan mudah mengambil kesempatan ke atas orang lain.

 

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 6:23pm
d