rap

Uyaina tak mengeluh demi tugas

Oleh Najiy Jefri

BIARPUN terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak demi melunaskan kerja yang dipertanggungjawabkan, namun pelakon dan pengacara Uyaina Arshad enggan mengeluh atau mengadu penat.

Bagi wanita berusia 29 tahun ini, dia amat bersyukur dengan setiap rezeki dan nikmat yang Tuhan kurniakan kepadanya, jika dibandingkan dengan orang lain yang berdepan pelbagai ujian di sebalik pandemik Covid-19.

"Alhamdulillah, saya bersyukur tawaran berlakon dan pengacaraan masih berjalan dan tidak putus. Saya kini sibuk mengacarakan program realiti Famili Duo serta Wanita Hari Ini (WHI) di Kuala Lumpur. Selesai saja tugasan terbabit, saya akan bergegas semula ke Ipoh untuk menyambung penggambaran drama bersiri Love Elsa.

"Walaupun agak penat apabila terpaksa berulang-alik, saya anggap ini satu pengalaman dan komitmen yang perlu saya lunaskan sebagai anak seni.

"Jujur saya seronok dengan apa yang dilakukan sekarang. Banyak ilmu dan pengalaman baharu yang saya timba. Saya perlu bersyukur apabila masih mendapat tawaran berlakon dan mengacara.

"Kalau nak dibandingkan orang lain ada yang belum dapat kerja baharu kerana terjejas akibat pandemik Covid-19. Apapun saya doakan semoga urusan orang lain yang masih mencari kerja dipermudahkan," katanya.

Beralih mengenai komen pedas yang diterima ketika mengacarakan program Famili Duo, Uyaina mengakui pernah terdetik untuk menarik diri meski baharu tiga minggu program itu bersiaran.

Uyaina yang membaca setiap teguran dan komen negatif diberikan itu, bagaimanapun mengakui menjadikannya pembakar semangat untuk terus memperbaiki diri.

"Saya membaca kesemua komen diberikan. Saya menerima segala komen negatif dan positif sebagai pembakar semangat. Saya mohon diberikan ruang untuk memperbaiki diri dan berharap kekal bersama saya dalam perjuangan ini.

"Mengacarakan program secara berseorangan tidak mudah. Banyak yang perlu saya belajar, walaupun ada terdetik rasa patah semangat dan nak tarik diri ketika membaca komen-komen yang diberikan itu," katanya.

Enggan membiarkan komen negatif mematahkan semangatnya, Uyaina memohon sokongan daripada semua pihak untuk melihat dirinya bangkit dan terus berjaya.

"Jika dilihat pengacara hebat tanah air pun pernah menjadi 'orang baru' dan mereka juga jadi bagus secara berperingkat. Saya harap saya juga begitu.

"Bagi saya proses untuk menjadi bagus bukan mudah. Apa yang saya lalui sekarang adalah proses pembelajaran. Doakan kejayaan saya," katanya.

Famili Duo adalah program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian famili dengan menampilkan 40 pasangan peserta yang terdiri daripada selebriti popular bersama ahli keluarga mereka.

Selain menyaksikan pembabitan Uyaina sebagai pengacara, program terbabit turut menampilkan Didie Alias dan Mark Adam sebagai juri tetap.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 6:35am
d