rap

Yabang kembali dengan 'Haru Biru'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

DUA tahun lalu, nama Yabang dan kumpulan Khalifah begitu menyerlah menerusi rangkaian lagu popular antaranya Hang Pi Mana, Assalamualaikum Ustazah, Cikgu Ayu dan banyak lagi.

Bagaimanapun nama mereka seakan hilang daripada radar industri hiburan kecuali pemain gitarnya Harry yang semakin aktif menghasilkan lagu untuk penyanyi lain.

Bangkit daripada rehat yang panjang selepas lama menyepi daripada berkarya termasuk kekangan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, Yabang kini tampil dengan single terbaharu berjudul Haru Biru.

Menariknya, lagu ini menyaksikan gandingan sulungnya dengan Kombat sebagai pencipta lagu, penyusun muzik dan melodi, manakala liriknya pula ditulis oleh Talib RSE.

"Saya ingin mencuba sesuatu yang baharu dan percaya kepada pasaran muzik yang bernuansakan 'surf' yang saya tampilkan.

"Mungkin orang sudah kenal saya dengan genre rock komersial, kali ini saya ingin melihat sejauh mana saya boleh membawa genre sebegini.

"Sama ada saya masih diterima peminat atau sebaliknya dan ia adalah satu cabaran buat saya dalam bidang nyanyian," katanya.

Yabang berkata, meskipun lagu ini bernuansakan muzik 'surf', dia percaya apa disampaikan mampu menarik minat peminat sedia ada dan peminat baharu.

"Ia berdasarkan kepada melodinya yang cukup santai dan tidak membebankan halwa telinga pendengar.

"Selain itu, muzik 'surf' juga mempunyai kelompok peminat tersendiri dan saya percaya mereka akan menyokong projek ini," katanya.

Biarpun tampil solo menerusi lagu ini, Yabang memaklumkan dia masih lagi setia bersama Khalifah.

"Pembabitan dengan Rockstage Entertainment lebih kepada projek istimewa selain kolaborasi bersama dengan pemuzik selain daripada Khalifah.

"Ia bukan perkara baharu dan diharapkan peminat-peminat dapat terima apa yang dilakukan," katanya.

Sementara itu, wakil Rockstage Entertainment, Talib Othman menyifatkan lontaran vokal Yabang yang mantap cukup sesuai dengan lagu Haru Biru yang dihasilkan oleh mereka.

"Sebelum ini RSE cukup sinonim dengan penghasilan album-album kumpulan yang berpaksikan muzik berat.

"Kali ini kami tampilkan kelainan buat peminat. Selain Kombat, Bakri dan Nizam yang menjadi nadi bagi Kugiran D Tepi Pantai turut bertanggungjawab dalam pembuatan Haru Biru bagi memastikannya mendapat tempat di hati pendengar.

"Peminat yang ingin mendengar lagu Haru Biru ini boleh mendapatkannya di platform digital seperti Spotify, Joox, Deezer, Kkbox, YT Music, Apple Music dan di Smule," katanya.

Dalam perkembangan lain, bagi mempromosikan single ini, Yabang akan terbabit menjayakan konsert Rockstage Akustika Live! Yabang And The Rockstage Band.

Konsert terbabit akan berlangsung pada 13 Mac 2021, jam 10 malam hingga 11.30 malam dari Stage War Entertainment.

Selain lagu Haru Biru, Yabang juga akan menyampaikan lagu-lagu menarik lain.

Peminat boleh menonton konsert ini secara live di Facebook Rockstage Entertainment.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 6:35am
d