rap

Projek: Anchor SPM tak tiru Bad Genius

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penulis skrip drama Projek : Anchor SPM, Anwari Ashraf menafikan drama ini menciplak idea filem Thailand berjudul Bad Genius.

Anwari berkata, drama ini tampil berbeza antaranya dari segi genrenya sendiri.

"Drama ini tidak sama sekali meniru filem terbabit kerana bagi saya perbezaan yang sangat besar di antara dua cerita ini adalah genrenya sendiri.

"Bad Genius genre 'heist' manakala Projek: Anchor SPM pula 'young adult'. Ceritanya juga sangat berbeza. Memang betul ada babak yang lebih kurang. Maklumlah dalam dewan peperiksaan," katanya menerusi sidang media secara maya.

Anwari meminta peminat menonton sendiri drama ini untuk mengetahui perbezaan yang dikatakan.

"Saya yakin kalau peminat yang berkata demikian menonton cerita ini, mereka akan susah menyamakan kedua-duanya," katanya.

Terdahulu, isu terbabit tular di Twitter baru-baru ini apabila seorang pengguna mengulang ciapan dengan melahirkan perasaan kesal dengan penghasilan drama yang dikatakan meniru filem lakonan Chutimon dan Chuengcharoensukying yang ditayangkan pada 2017 itu.

Projek: Anchor SPM arahan Razaisyam Rashid menerusi jenama Astro Originals bakal ditayangkan di Astro Citra saluran 108 (HD)/ 128 (SD) bermula 15 Mac ini.

Drama lapan episod membariskan pelakon muda seperti Aedy Ashraf, Daiyan Trisha, Shasha Abedul, Chubb-e dan Nadhir Nasar ini memaparkan pengalaman kehidupan dan gelagat mereka menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 12:32pm
d