rap

Sajat 'hilang', rakan-rakan rapat turut 'hilang'

Oleh Wartawan HM

Kuala Lumpur: Bukan saja Nur Sajat 'menghilang', malah rakan-rakan yang rapat dengan usahawan kosmetik kontroversi itu juga mengambil pendekatan serupa.

Usaha Harian Metro mendapatkan mereka untuk memberi pandangan terhadap kontroversi terbaru Sajat gagal apabila mereka turut menghilangkan diri.

Mereka dipercayai mengambil jalan selamat tidak mahu masuk campur dalam perkara ini.

Menerusi hantaran di media sosialnya sebelum ini, Sajat pernah memaparkan beberapa rakannya termasuk yang pernah bersama-samanya dalam kontroversi berpakaian wanita ketika mengerjakan umrah.

Cubaan menghubungi Sajat juga tidak berjaya apabila mesej dan panggilan tidak dijawab.

Tinjauan di akaun media sosial pula mendapati Sajat sudah menyahaktifkan akaun Instagram miliknya.

Begitu juga teman lelakinya, seorang warga Lubnan dikenali sebagai Jad Issa atau Jadooss yang didakwa sudah pulang ke negaranya.

Jad menerusi akaun Instagram Jadooss dilihat memuat naik gambar-gambar dia bersama Sajat di IGTV tiga hari lalu dengan menulis, 'Untuk setiap langkah yang awak lakukan dalam kehidupan awak, ingatlah saya berada di belakang awak'.

Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad kini diburu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas dikenakan waran tangkap tanpa jaminan kerana gagal hadir ke mahkamah pada sebutan semula kesnya, minggu lalu.

Sejak itu, dia gagal dihubungi bagi mendapatkan komen berhubung pelbagai kontroversi yang terpalit atas dirinya.

Terbaharu, tular sebuah video yang memaparkan pengakuan usahawan berusia 36 tahun itu seolah-oleh berniat menukar agama.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tarikh video itu dimuat naik sama ada ia video baharu atau lama. Video berdurasi 1 minit 48 saat tular di media sosial memaparkan luahannya yang seakan-akan mahu menukar agama selepas mendakwa kecewa dengan orang di sekeliling termasuk dengan apa yang berlaku kepadanya.

Ia terus mencetuskan kontroversi sehingga beberapa mufti dan pendakwah memberikan pandangan mereka terhadap perkara ini.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 5:55pm
d