rap

Fian pertaruh bakat nyanyian

Oleh Norhayati Nordin

NAMA Fian Ali mungkin masih baharu dan tidak begitu dikenali di persada seni tanah air berbanding adiknya, Wanna Ali yang sudah memahat nama sebagai pelakon dan penyanyi.

Namun, rezeki buat Fian, 25, untuk menyerlahkan bakat seninya ternyata agak mudah juga kerana lahir dalam keluarga yang memiliki studio rakaman dan syarikat produksi sendiri.

Ibunya, Datuk Ayu Puteh adalah pemilik Pencil Pictures & Records Sdn Bhd yang cukup menyokong minat anak-anak dalam kerjaya seni seterusnya mewarisi legasi empayar yang dibina.

Apapun, yang pasti Fian atau nama sebenarnya, Mohd Sufian Mohd Ali kini tampil melancarkan single terbaharu berjudul Ala Shayang hasil ciptaan komposer Sheikh Baseer. Malah, video liriknya juga sudah ada di YouTube Indigital Music.

Berbicara mengenai kerjaya seninya, Fian berkata, dia yang memang meminati nyanyian sebelum ini pernah merakamkan lagu berjudul Semakin Benci Semakin Rindu, sekitar beberapa tahun lalu.

"Namun, tuah untuk bakat nyanyian saya menyerlah belum ada ketika itu. Tapi, saya tidak kecewa kerana mahu teruskan usaha hingga berjaya. Alhamdulillah, sekitar tahun lalu saya dapat merakamkan lagu Ala Shayang ini.

"Lagu ini melodinya 'easy listening' dan lirik juga 'catchy'. Jadi, ia sedap didengar dan kena pula dengan jiwa saya. Terima kasih kepada Sheikh Baseer kerana sudah menghasilkan lagu yang bagus ini untuk saya.

"Harapan saya semoga lagu Ala Shayang mudah mendapat tempat di hati pendengar dan mesra radio. Sejujurnya, saya serius dalam kerjaya nyanyian ini dan mengharap lebih banyak peluang.

"Walaupun diakui ibu saya ada pengaruhnya tersendiri sebagai penerbit filem dan drama, namun kami sekeluarga sentiasa saling menyokong. Bahkan, tidak menumpang pun pengaruh sesiapa," katanya.

Ujar Fian lagi, dia akan membuktikan bakat seni dimilikinya. Katanya dia juga pernah menceburi lakonan dengan membintangi filem seperti Aku Ada Kau Ada dan Tokan selain telefilem Khalifahkah Aku serta D'Kayangan.

Apa yang pasti, lagu Ala Shayang juga mendapat peluang menjadi lagu runut bunyi (OST) bagi drama Baby Tak Gila yang akan ditayangkan di Unifi TV mulai 10 Mac ini. Katanya, ia rezeki buat lagu itu dan juga dirinya.

Menurut Fian, semoga dengan peluang menjadi lagu tema drama itu akan membawa impak positif yang besar pada lagu Ala Shayang. Ujarnya, ia kerana dia sudah memberi yang terbaik dalam proses rakaman lagu berkenaan.

Diedarkan oleh Indigital Music, kini video lirik lagu Ala Shayang di YouTube baharu mencatat lebih 2,000 tontonan. Apapun, Fian optimis dan tekad akan berusaha merancakkan promosi untuk lagunya lebih dikenali oleh pendengar.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 6:32am
d