rap

Risteena Munim, Isa Khan nikah Jumaat depan

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Isa Khan, 28, dan tunangnya yang juga pelakon, Risteena Munim, 32, mengumumkan tarikh pernikahan dengan memilih 12 Mac ini iaitu Jumaat depan sebagai hari bahagia mereka.

Isa atau nama sebenarnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan berkata, segala persiapan perkahwinan hampir sempurna dan tidak sabar menghalalkan hubungan cinta dibina lebih dua tahun itu.

"Tiada majlis besar-besaran kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP). Kami juga sudah memadam impian mengadakan majlis meriah dengan kehadiran ribuan tetamu.

"Cukuplah sekadar majlis dan acara ringkas ketika penularan Covid-19 ini. Tema majlis pula adalah ringkas tapi manis untuk dijadikan kenangan. Saya berharap majlis perkahwinan yang dirancang dapat dinikmati bersama keluarga, sahabat dan rakan media," katanya.

Menjelang hari bahagia pasangan itu, Isa juga akan melancarkan lagu baharunya berjudul Karunia Terhebat sebagai simbolik percintaan mereka.

"Lagu ini mengenai perjalanan cinta kami dan didedikasi khas buat Risteena. Insya-Allah, lagu ini akan dilancarkan pada majlis perkahwinan nanti. Lagu bergenre pop balada ini adalah ciptaan sahabat saya Ayid Sidki, liriknya pula saya hasilkan sendiri dan diterbitkan Hadi Rumnan," katanya

Terdahulu, Risteena mengumumkan akan melangsungkan pernikahan pada pertengahan bulan ini. 

Pasangan itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada November tahun lalu. Bagaimanapun, majlis terpaksa ditunda berikutan perancangan asal mereka terkesan dan perlu usahakan perancangan baharu.

Isa mengumumkan sudah melamar Risteena pada 23 November 2019 sewaktu bercuti di Bali, Indonesia. Pasangan itu turut mengumumkan mereka bertunang pada tarikh sama.

 

Disiarkan pada: March 6, 2021 @ 12:05pm
d