rap

'Kena ikut peredaran zaman'

Oleh Najiy Jefri

WALAUPUN berdepan dugaan apabila tiada tawaran persembahan sepanjang pandemik Covid-19, namun Ramlah Ram bersyukur masih boleh menampung kehidupan dengan wang simpanan serta berniaga kecil-kecilan.

Ramlah berkata, sikap suka berjimat cermat yang diamalkan selama ini nyata banyak membantu dirinya untuk bertahan selepas setahun tidak mempunyai sebarang persembahan pentas.

"Selain berbekalkan wang simpanan yang ada, saya juga dapat rezeki dipilih sebagai duta produk serta menjalankan perniagaan menjual minyak wangi yang sudah diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

"Sekurang-kurangnya dapatlah menampung kehidupan ketika ini. Bagi saya, nak bergantung pada wang simpanan sepenuhnya tak boleh juga. Ibarat bukit kalau ditarah, lama-lama botak juga. Jadi, saya tetap kena usaha cabang rezeki yang lain," katanya yang sentiasa optimis untuk meneruskan hidup.

Siapa sangka, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu ini sudah bertahan dalam industri muzik selama 36 tahun.

Tempoh lebih tiga dekad itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai, namun juara Bintang RTM 1985 itu masih kekal relevan dan dikenali ramai.

Bagaimanapun, Ramlah mengakui perjalanan yang terpaksa ditempuh kini tidak mudah, lebih-lebih lagi perlu bersaing dengan penyanyi muda.

"Kita sebagai artis perlu mengikut peredaran zaman. Ambil tahu mengenai perkembangan sekarang sebab kita pun takkan nak duduk dalam zaman kita saja.

"Tapi dalam masa sama kita tak boleh terlalu ikut dengan stail anak-anak muda, ada elemen dan identiti yang kita perlu kekalkan. Tidaklah terus berubah 360 darjah sebab peminat lama kita masih ada. Cuma, dalam masa kita mengekalkan elemen kita, kita perlu juga serapkan elemen baharu.

"Dan untuk itu, saya suka duduk dengan bakat-bakat muda untuk bertukar pendapat dan dari situ kita dapat saling belajar di antara satu sama lain," katanya.

Ditanya mengenai penyanyi muda yang berbakat ketika ini, Ramlah berkata, dia mengagumi ramai bakat muda dan antaranya seperti Ernie Zakri, Aina Abdul, Syamel dan Hazama.

Dalam pada itu, Ramlah memberitahu dia merancang untuk mengeluarkan single baharu kerana untuk terus relevan di dalam industri muzik, dia perlu tampil dengan sekurang-kurangnya dua single dalam setahun.

"Bagi memastikan kehadiran kita sentiasa ada dan diingati, saya mahu keluar dalam dua atau lebih single dalam setahun. Single itu menjadi atau tidak, saya berserah pada rezeki, yang penting saya kena terus mencuba mengeluarkan produk.

"Mungkin saya akan tampil dengan lagu raya memandangkan tak lama lagi kita akan menyambut Ramadan dan Syawal. Saya pun sudah lama tidak mengeluarkan lagu raya, kali terakhir adalah lagu Bila Aidilfitri Kembali, duet bersama Jay Jay," katanya.

Bersempena dengan sambutan 36 tahun itu, Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1989 itu sepatutnya akan membuat persembahan di Konsert Minggu Ini pada 20 Februari lalu.

Bagaimanapun ekoran faktor yang tidak dapat dielakkan, konsert terbitan RTM itu terpaksa ditunda ke suatu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 6:20am
d