rap

'Biar tak glamour di dunia, asalkan Allah reda'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed meminta warganet sedar dan memahami bahawa teguran terbuka kepada Sharifah Sakinah bukan untuk mengaibkan.

Menurut PU Syed, apa yang dilakukan bertujuan untuk menyedarkan selebriti terbabit agar segera menutup keaiban yang dilakukan.

"Dalam masa sama, saya ingin menghantar mesej yang tegas kepada mereka dan juga seluruh masyarakat agar tidak sesekali melakukan perbuatan seperti itu.

"Ada yang kata kami menegur untuk tumpang glamor. Ini adalah tuduhan yang tersasar kerana jika bukan kami, siapa lagi yang ingin menegur mereka ini?

"Biar tak glamour di dunia, asalkan Allah reda dengan kita. Daripada glamor di dunia, namun Allah murka kepada tindak tanduk kita," katanya kepada Harian Metro.

PU Syed menerusi hantaran di Instagram membuat teguran secara terbuka kepada pelakon Sharifah Sakinah berkenaan cara berpakaian yang agak keterlaluan. 

Dia mulanya menghantar pesanan di ruangan mesej peribadi Sakinah tetapi tidak mendapat respons.

Rentetan itu dia membuat keputusan menegur secara terbuka dan mendapat respons ringkas daripada Sakinah yang memohon maaf dan mendoakan yang baik-baik.

Tidak kurang ada warganet yang menyokong tindakan PU Syed serta ada juga yang mengecam sebagai mengambil jalan mudah untuk mencari populariti. 

Mengulas lanjut, PU Syed berkata, ada perbezaan antara perbuatan dan perlakuan dosa yang dilakukan secara tersembunyi dan perbuatan dosa yang dilakukan secara terang-terangan serta dizahirkan dan dibanggakan.

"Kesan kepada masyarakat sangat besar jika perbuatan itu dilakukan oleh orang yang ada nama.

"Pasti akan ada yang akan menjadikan perbuatan itu sebagai dorongan untuk mereka melakukan perbuatan dosa yang sama.

"Halal itu terang dan haram itu juga terang. Begitu juga dosa dan pahala. Berapa lama sangatlah kita akan hidup di dunia ini  kerana kelak pasti kita akan kembali bertemu Allah untuk diadili segala kerja buat kita di dunia ini. Kita menegur kerana sayang sesama saudara seakidah," katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 8:24pm
d