rap

Isteri Fazren Rafi keguguran

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Bukan rezeki kami," kata pelakon, Fazren Rafi, 36, mengenai isterinya, Syarifah Marlina Ashikin, 35, yang mengalami keguguran ketika kandungan berusia 10 minggu.

Fazren berkata, keadaan isterinya kini stabil dan sedang menjalani tempoh berpantang. Dalam masa sama semakin kuat untuk menghadapi kenyataan itu.

"Alhamdulillah, keadaan isteri okay. Cumanya, dua hari pertama selepas dia mengalami keguguran, dia banyak habiskan waktu di dalam bilik. Tapi, saya tahu dia isteri yang kuat," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fazren, dia dan isterinya menjalani pemeriksaan denyutan jantung bayi dalam kandungan sebelum dimaklumkan berita sedih itu.

"Kami ke klinik seperti yang dijadualkan untuk membuat pemeriksaan degupan jantung bayi. Apabila doktor tak dapat kesan degupan jantungnya, kami diminta untuk bertemu pakar dan di situ, kami dimaklumkan mengenai berita ini," katanya.

Menurut Fazren, ini adalah kali ketiga isterinya berdepan situasi sama dan pernah mengikat peranakan atau Bilateral Tubal Ligation (BTL).

"Sebelum ini, ketika awal perkahwinan kami, isteri saya pernah dua kali keguguran dan selepas itu, kami mengambil anak angkat, Mohd Rizqin Qayyum yang kini berusia sembilan tahun.

"Selepas itu, ada rezeki untuk kami memiliki zuriat dan dikurniakan tiga anak. Kemudian, kami ambil keputusan untuk isteri saya menjalani BTL. Namun, kami fikir semula untuk mencuba sekali lagi dan mendapat berita isteri hamil," katanya yang berkahwin pada 2011.

Selain Mohd Rizqin Qayyum, tiga lagi anak mereka ialah Mohd Rizqin Quwais, 7; Rizqeen Humaira, 6; dan Mohd Rizqin Haqq, 3.

Disiarkan pada: March 9, 2021 @ 11:45pm
d