rap

Perkahwinan tak direstui ibu? Hannah Delisha mohon maaf

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pelakon Singapura, Hannah Delisha, 25, tampil membuat permohonan maaf selepas pelbagai kontroversi menghimpit dirinya sejak melangsungkan perkahwinan secara senyap dengan Imam Shah, 32, termasuk perkahwinan dikatakan tidak direstui ibunya.

Hannah yang berkahwin secara senyap dengan pelakon Singapura itu pada 18 Februari lalu menerusi satu kenyataan meminta semua pihak memberikan ruang peribadi buatnya berhubung kontroversi berkenaan."

"Saya memohon maaf atas perhatian yang tidak dikehendaki terhadap saya pada ketika ini. Ya, saya juga memiliki masalah peribadi seperti orang lain.

"Sekali lagi, saya mohon maaf atas berita yang tidak menyenangkan mengenai saya dan keluarga. Anda layak menerima perkara lebih baik berbanding kisah ini daripada saya. Apa yang dipinta adalah doa anda dan berikan saya ruang peribadi ketika diuji ini," katanya.

Pelakon drama 30 Pesanan Suara itu berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu kisah peribadinya menjadi perhatian dan cuma mahukan cerita kerjaya lebih ke depan.

"Sejak menyertai bidang lakonan, niat saya cuma untuk menghiburkan anda iaitu peminat menerusi hasil kerja, bukannya berkenaan isu peribadi.

"Saya seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada terbabit dalam sebarang gosip demi menjaga nama baik negara sendiri. Saya berharap untuk sentiasa berada di atas paksi ini," katanya.

Selepas mengejutkan ramai berkahwin secara senyap dengan Imam pada 18 Februari lalu, timbul pula isu perkahwinan mereka tidak direstui ibu Hannah, Noor Ashikin Ahmad.

Spekulasi itu timbul apabila Noor Ashikin memuat naik puisi berbentuk luahan hati, Hikayat Antah Berantah yang dipercayai dituju kepada Hannah di Instagram, baru-baru ini.

Ia bertambah hangat apabila Noor Ashikin turut meletakkan tanda pagar #ibutakrestu dalam hantaran itu.

Menguatkan lagi spekulasi itu, ibu mentuanya, Mariana pula memuat naik hantaran berbaur sokongan terhadap menantu dan anak lelakinya supaya terus kuat berdepan ujian.

Dalam masa sama, timbul pula cerita baru apabila Hannah dan Imam dikatakan sudah berkahwin sejak setahun lalu.

Ia susulan perkongsian rakan artis yang juga pengacara, Eleena Sui dalam Instagram pada tahun lalu bertarikh 19 Februari sama dengan gambar yang dikongsikan ibu mentua Hannah semalam.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Noor Ashikin yang kini berada di Singapura bagi mendapatkan reaksinya tidak berjaya apabila dia tidak membalas mesej dan menjawab panggilan telefon.

Disiarkan pada: March 11, 2021 @ 12:13pm
d