rap

Tak adil gelar saya 'objek nafsu' - Elizabeth Tan

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Elizabeth Tan menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dirinya kerap memuat naik gambar berpakaian seksi hingga mengundang komen lucah dari pengikut di media sosial. 

Elizabeth berkata, sekiranya dia berbuat demikian sudah pasti akaun media sosial sudah disekat oleh pihak bertanggungjawab.

"Saya tiada hak untuk mengawal atau menghukum komen yang dibuat terhadap gambar yang dimuat naik.

"Kalau betul gambar saya lucah, sudah lama akaun media sosial saya kena sekat sebab paraturan Instagram atau Facebook memang tiada ruang untuk kandungan lucah," katanya. 

Menurut Elizabeth, dia tiada ada hak untuk mengawal mana-mana lelaki sekiranya melihat atau beranggapan dirinya sebagai simbol seks. 

"Siapa gelarkan saya sebagai simbol seks? Kenapa saya tak dilihat sebagai individu yang memperkasakan kaum wanita. Di mana saya boleh buat apa apa yang saya pilih dengan badan saya sendiri? 

"Kalau orang lain yang berfikiran sedemikian, adakah itu salah saya? Saya berasa tak adil apabila pihak lelaki yang selalu menetapkan apa yang 'elok' atau 'tak elok' secara subjektif dengan nilai yang tak konsisten," katanya. 

Sementara itu, menjawab kenyataan seorang pendakwah yang berpesan agar dirinya mengawal setiap kandungan yang dimuat naik supaya tidak mengundang komen daripada lelaki miang, Elizabeth menegaskan video terbabit tidak memaparkan dirinya dalam keadaan tidak senonoh. 

"Apa keterlaluannya? Dalam video itu saya pakai baju lengan panjang, seluar panjang, tak tunjuk apa-apa pun, cuma tunjuk satu aksi yang saya rasa kelakar dan yang tak semua orang boleh buat.

"Kalau kandungan saya keterlaluan untuk sesiapa, mungkin saya boleh bagi nasihat untuk tidak mengikuti atau menyekat akaun saya. Saya berasa tidak adil untuk menggelarkan saya sebagai ' objek nafsu'. 

"Memang saya percaya yang wantia melambangkan keindahan dan kekuatan, dan untuk saya keindahan dan kekuatan bermaksud saya berhak untuk memilih dan buat keputusan apa-apa sebagai seorang wanita berdikari yang diperkasakan dalam semua aspek hidup saya," katanya. 

Terdahulu seorang pendakwah tampil menegur sikap segelintir lelaki beragama Islam yang meninggalkan komen lucah dalam video terbaharu penyanyi itu di Instagram. 

Pendakwah terbabit menegaskan, komen lucah daripada lelaki muslim di Instagram penyanyi itu sudah dianggap keterlaluan malah ada dalam kalangan suami orang. 

Dalam masa sama, pendakwah terbabit berpesan kepada penyanyi itu supaya mengawal kandungan yang dimuat naik supaya tidak mengundang komen daripada lelaki miang. 

Disiarkan pada: March 13, 2021 @ 5:46pm
d